Tuesday, July 9, 2024
HomeBERITAKeluarga Malaysia bertunjang kesepaduan - Shamsul Amri

Keluarga Malaysia bertunjang kesepaduan – Shamsul Amri

Naratif Baru Perpaduan Malaysia: Setuju untuk bersetuju, Setuju untuk tidak bersetuju

Sebuah huraian dan pemerhatian oleh Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin FASc.

Apabila YAB Dato’ Sri Ismail Sabri mengambil alih tampok pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9 pada 21 Ogos 2021 negara ketika itu menghadapi krisis pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan pimpinan elit politik yang melimpah serta turut mengesankan kedudukan ekonomi negara.

Esoknya, pada 22 Ogos 2021 di Dewan Rakyat,  YAB Dato Sri’ Ismail Sabri telah mengisytiharkan ‘Keluarga Malaysia’ sebagai ‘pendekatan’ pemerintahan beliau untuk mendepani cabaran Covid-19, mententeramkan suhu turun-naik politik elit dan mengembalikan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang mengundang kesejahteraan. Dipetik berikut ini sebahagian teks ucapan beliau.

“Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga” – Petikan ucapan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021

Pengisytiharan Keluarga Malaysia bukan hanya merupakan sebuah pendekatan ia juga mengandungi sebuah kiasan, suatu cogan kata, pernyataan suatu realiti kehidupan, dan kerangka suatu tindakan.

Kiasan bermakna biar pun masyarakat wujud dalam keadaan ‘kesepaduan dalam kepelbagaian’ namun ianya tetap terikat seperti keterikatan dalam sesebuah keluarga oleh ciri keterangkuman atau inklusifnya yang mendasari sesebuah keluarga.

Cogan kata bertujuan mempromosi wujudnya kekitaan dalam kalangan warganegara Malaysia, biarpun kita mempunyai pandangan berbeza tentang Malaysia dan Kerajaan, namun kita semua memiliki satu kerakyatan, satu MyKad, dan satu pasport. Keluarga Malaysia wujud serentak antara tarikan centripetal (bergerak ke arah konsensus) dan centrifugal pergerakan ke arah pemisahan) terjelma dalam keadaan semasa ‘setuju untuk bersetuju dan setuju untuk tidak bersetuju’ (agree to agree, agree to disagree).

Satu realiti hidup yang menggambarkan sebuah masyarakat sarat dengan kontradiksi berpunca daripada perbezaan, dalam erti kata bersetuju dalam banyak hal namun tidak bersetuju dalam beberapa hal lain, yang mewujudkan defisit sosial, iaitu melibtakan hal-hal yang belum terongkai dan perlu mencari penyelesaian melalui mendirikan tapak integrasi melalui prinsip bargaining, negotiation dan mediation.

Sebagai suatu tindakan pula ianya bermaksud Malaysia mempunyai Pelan Tindakan Perpaduan Keluarga Malaysia yg mempunyai lima Teras Strategik berasaskan Rukun Negara (Mukadimah dan Ikrar). Malaysia sudah ada Dasar Perpaduan Negara, Blueprint Perpaduan Negara 2021-2030, Pelan Tindakan Negara 2021-200 dan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2018. Rangkaian pelan-pelan ini yang akan menterjemah Keluarga Malaysia sebagai aktiviti praktikal dan pragmatis bermula dari pusat membawa ke daerah dan langung ke komuniti akar umbi seluruh negara. [Sila tatap dokumen-dokumen berikut yang boleh dimuat turun daripada website berikut:  https://www.perpaduan.gov.my/index.php/bm].

Kesemua dokumen ini yang telah disediakan semenjak tahun 2020 lagi oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang ditubuhkan kembali sebagai sebuah kementerian perpaduan berdiri sendiri setelah 46 tahun berkelana dan disangkutkan ke sana sini dalam kementerian, jabatan dan majlis yang berbeza-beza.

KPN melalui dokumen-dokumen ini telah mengemukakan naratif dan kefahaman baru mengenai perpaduan di Malaysia yang mula dianjurkan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara 2013-2015. Dari tahun 1969 ke 1974 perpaduan sebagai konsep tunggal. Selepas 40 tahun, bermula 2015 perpaduan didefinis semula dan menjadi konsep tiga serangkai. Setelah diterima kerajaan dan diluluskan oleh Kabinet Kerajaan Malaysia pada Ogos 2015 (sila lihat rajah berikut), ianya telah diterapkan dalam hampir semua dokumen rasmi kerajaan, terutamanya dalam empat dokument di atas. Evolusi kefahaman daripada perpaduan sebagai konsep tunggal ke konsep tiga serangkai terdapat dalam rajah berikut.

Tunjang kepada perpaduan di Malaysia dalam konteks konsep tiga serangkai ialah Kesepaduan (Cohesion), sebuah kefahaman dan konsep yang diamalkan tanpa disedari oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Ini adalah kerana perpaduan selama ini adalah sesuatu yang kita idamkan, yang diisi oleh ‘detik perpaduan’ (moments of unity) bersilang seli dengan ‘detik perbezaan’ (moments of difference).

Kesepaduan adalah keadaan aman (keselamatan), stabil (politik), makmur (ekonomi) dan sejahtera (kesihatan) kerana rakyat berpegang kepada suatu prinsip hidup dan prilaku yang diterima dan diguna pakai secara mendatar di semua lapisan masyarakat dan menegak dalam konteks kelas sosial. Apakah prinsip itu?

  • bersetuju untuk bersetuju
  • bersetuju untuk tidak bersetuju

Bukti bersetuju untuk bersetuju banyak didapati dalam masyarakat kita, sama ada kita sedari atau tidak. Contohnya, amalan akomodasi iaitu menerima dan menghormati perbezaan, seperti makanan halal, dalam kalangan penganut agama yang berbeda. Amalan pinjam meminjam budaya, seperti dari segi makan minum dan pakaian adalah perkara biasa. Amalan mewujudkan kelompok peranakan, dipanggal amalgamasi, menjadi komuniti kacokan telah pun diamalkan berabad lalu. Asimilasi berlaku dalam mana ahli kelompok minoriti menerima nilai dan etos majoriti apabila berlaku kawin campor dan wujud dalam suatu keluarga besar yang mendukungi kesatuan biarpun  mengandungi kelompok agama berbeda, seperti dalam banyak keluarga di Sarawak dan Sabah.

Bersetuju untuk tidak bersetuju mengandungi ruang yang terbuka untuk memanifestasikan pandangan dan perasaan berbeza, malah rasa tidak bersetuju sekali pun. Maka ini menyebabkan penyelesaian beberapa masalah utama tertangguh dan dipertikaikan malah perbalahan berbentuk ‘bertikan lidah tidak berparangan’ (tongue wagging not parang wielding). Keadaan ini terjelma dalam bentuk defisit sosial (sila lihat rajah di bawah).

Berdasarkan data yang dikutip daripada orang ramai dalam 18 townhall meeting diseluruh negara kini telah tersenarai 10 kategori defisit sosial yang perlu kita runding dan selesaikan secara kolektif dalam negara kita. Ertinya kategori defisit sosial ini membantu kita mengemas kini cara kita untuk lebih jelas dan sistematis dalam mendekati setiap cabaran dalam negara sama ada bersifat individual grievances, tidak puas hati sebuah famili, dan rasa tersinggung sesebuah komuniti dan kelompok sosial.

Penyelesaian setiap defisit sosial ini, dan sebarang rasa tidak puas hati dalam setiap kategori, perlu dilaksana dengan sistematis dan aman. Hanya dengan cara ini penyapaduan (reconciliation) dapat dilaksana dalam jangka panjang dan pendek yang akhirnya mudah-mudahan bergerak ke arah menrealisasikan perpaduan (unity) yang selama ini didamkan.

Mekanisme yang rakyat Malaysai gunakan selama ini untuk menyelesaiakn sebarang deficit social ialah dengan membina tapak integrasi. Apakah tapak integrasi?

Tapak integrasi ialah suatu ruang abstrak dan fizikal yang menemukan pelbagai pihak berkepentingan untuk duduk bersama-sama mencari penyelesaian. Prinsip membina dan perlaksanaan tapak integrasi adalah seperti berikut:

  • TAWAR-MENAWAR (Bargaining),
  • PERUNDINGAN (Negotiation)
  • MEDIASI (Mediation)

Contoh tapak imtegrasi terbaik malah ikonik di Malaysia ialah Malaysia Agreement 1963 yang wujud antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak (sila lihat rajah di bawah).

Perjanjian itu untuk bersetuju menerima otonomi Sabah dalam 20 perkara dan Sarawak dalam 18 perkara. Dalam konteks mental construct ertinya Sabah dan Sarawak tidak bersetuju sepenuhnya pelaksanaan kandungan Perlembagaan Persekutuan dan menuntut perlindungan dan otonomi dalam 20 (Sabah) dan 18 (Sarawak) perkara berkenaan.

Dalam kata lain, Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia bersetuju untuk bersetuju memperakukan otonomi Sabah dan Sarawak dan bersetuju untuk tidak bersetuju aplikasi dan pelaksaan Pelrlembagan Persekutuan sepenuhnya terhadap Sabah dan Sarawak.

Tapak integrasi dalam bentuk Perjanjian Malaysia 1963, terhasil daripada perundingan antara Kerajaan British, pimpinan Malaysia dan pimpinan Sabah dan Sarawak ketika perjanjian itu dimentrai atas prinsip bargaining, negotiation and mediation.

Inilah satu-satunya kekuatan Malaysia yang tidak diteliti dan diperhati serta diulas dengan baik lagi jelas. Malah ada yang menyatakan inilah alat dan formula mengurus cabaran dan masalah yang perlu dirongkai dan selesai.

Keluarga Malaysia dalam Naratif Baru Perpaduan

Ramai lagi rakyat Malaysia, termasuk para pemimpin, kefahaman mereka mengenai perpaduan masih menurut kefahaman awal. Perpaduan menurut kefahaman awal diperkenalkan selepas berlakunya konflik perkauman pada Mei 13, 1969. Semenjak tanggal itu hingga ke 24 Ogos 1974 kerajaan bertungkus lumus untuk mengembalikan perpaduan yang sudah retak dengan pelbagai usaha, ada yang melibatk kegiatan tadbir urus, nasehta dari luar negeri dan pembentukan beberapa dasar, seperti Rukun Negara 31 Ogos 1970 dan

Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971

Tidak ada salahnya mengutarakan kefahaman awal perpaduan sehingga sekarang. Kefahaman ini masih disebut-sebut, diidamkan dalam ucapan, dalam media massa malah tersimpul dalam kefahaman awal ini adalah harapan mendalam supaya perpaduan dimetrai di kalangan masyarakat Malaysia, biarpun selama ini belum lagi menjadi kenyataan. (Sila lihat dua rajah berikut).

Pelancaran pendekatan Keluarga Malaysia oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia, pada setahun lalu, pada 22 Ogos 2022, merakamkan dua perkara penting sebagai terasnya.

Pertama, mengenai kefahaman terkini berkait dengan konsep tiga serangkai perpaduan yang sudah diterima rasmi oleh kerajaan. (Sila lihat rajah berikut dan website KPN   https://www.perpaduan.gov.my/index.php/bm).

Kedua, pendekatan dan konsep Keluarga Malaysia tersebut telah diterapkan dalam Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang telah disediakan oleh Kementerian Perpaduan Negara  dan telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sendiri pada 28 November 2021. (Sila lihat poster pelancaran yang dipaparkan berikut).

Hari ini 21 Ogos 2022 genap sudah setahun beliau menjadi Perdana Menteri. Untuk menilai prestasi dan pencapaian beliau untuk waktu yang sesingkat ini sukar kerana sebahagian besar usaha dan tindakan beliau masih dalam pelaksanaan, pengubahsuian dan penambah baikan. Kebanyakannya tidak dapat dinilai semudah itu dari segi objektif. Yang dapat dirongkai dan diperagakan adalah hanya berasaskan pemerhatian yang rata-rata bersifat subjektif.

Perbincangan ini ingin memberikan pemerhatian yang telah terhimpun selama setahun setelah pelancaran pendekatan Keluarga Malaysia dan pelaksanaan beberapa program yang berkait.

Untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 diisytiharkan bahawa cogan katanya ialah “Keluarga Malaysia: Teguh Bersama” selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia. Frasa keluarga Malaysia dalam cogan kata ini merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, yang kukuh kuat dan erat dicapai secara kolektif serta mampan. Ini menyuarakan dengan jelas suatu harapan besar.

Ini tidak bererti sebuah masyarakat yang dicirikan kepelbagaian (unity in diversity) yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran wujud dalam bentuk yang unggul dan sempurna. Apa yang dinyatakan dalam ucapan adalah suatu harapan. Dalam beberapa aspek masih ada cabaran-cabaran yang perlu diurus.

Dalam ucapan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021 di Parlimen yang telah dipetik di atas dan dipetik kembali kali ini ketika mana beiau menyeru;

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.”

Beliau menimbulkan bahawa negara Malaysia sarat dengan perbezaan yang mencabar. Namun beliau menyeru supaya kelompok kerajaan dan parti pembangkang di Parlimen mencari persamaan dan tidak menekankan perbezaan, kenyataan yang boleh ditafsir sebagai menekankan perlunya emcari sau titik pertemuan dan membina tapak integrasi

Harapan ini menjadi kenyataan apabila suatu Memorandum Kesefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan parti pembangkang terbesar, iaitu Pakatan Harapan yang mempunyai 90 kursi Parlimen, telah ditandatangani pada 13 September, kira-kira sebulan selepas YAB Dato’ Sri Ismail Sabri diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 9. (sila lihat rajah di baah).

Memorandum ini menganjurkan konsep kesepaduan, bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju, dengan erti kata Memoradum  ini menjadi wahana mencari ruang muafakat, tolak ansor, tawar menawar dan mediasi. Ini adalah satu peristiwa sejarah dalam politik governans Malaysia semenja Merdeka 1957 sebuah memorandam seperti ini diwujud dan dilaksanakan.

Impak segera pertama Memoranda ini adalah kembali stabiliti di peringkat politik elit, khusus di Parlimen, dengan perdebatan kelihatan lebih waras dan sama-sama berhujah lojik dan seimbang. Malah dalam tempoh kurang daripada setahun (September 2021 ke Julai 2022) tiga Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh parlimen dengan undi majoriti 2/3. Ini satu pencapaian agak luar biasa. Bukti kejayaan tapak integrasi binaan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri. (Sila lihat rajah berikut)

Selaian daripada apa yang berlaku dan dipersetujui  di Parlimen, dibawah payung Keluarga Malaysia, beberapa program telah dilaksanakan dan menerima sambutan yang baik orang ramai. Kerarajaan-kerajaan Negeri turut terlibat dalam penganjuran dan menjayakan program berkenaan. Beberapa program tersebut tersenarai seperti berikut:

Merumuskan beberapa pemerhatian

Untuk menilai secara objektif pencapaian YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dalam tempoh setahun adalah tidak mampu dilaksanakan, kecuali menggunakan angka-angka kerana angka katanya mewakili yang objektif. Cuma kesahihan angka-angka mesti berasaskan kajian mendalam bukan ramalan Pak Nujum ekonomi, yang ramai bilangannya di negara kita. Kajian ini memerlukan lebih waktu dari setahun.

Tiga perkara utama yang boleh dirumuskan berdasarkan pemerhatian yang dibuat setahun ini yang mencorakkan kepimpinan beliau dan proses pelaksanaan pendekatan Keluarga Malaysia beliau.

Pertama, dari segi latar belakang politik YAB Dato’ Sri Ismail Sabri adalah seorang ahli politik yang berpengalaman luas dalam dan luar kerajaan yang memerintah, menjadi Ahli Parlimen semenjak 2008 sehingga sekarang, menjawat setidak-tidaknya enam kali jawatan Menteri dalam kementerian yang berbeza, pernah dipilih sebagai Ketua Pembangkang (2019-2020).  Apabila dia menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 9 Julai 2021 tidak lama kemudian beliau naik menjadi Perdana Menteri, hanya kira-kira sebulan kemudian, pada 21 Ogos 2021.

Apabila YAB Dato’ Sri Ismail Sabri mengambil alih tampok pemerintahan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9 pada 21 Ogos 2021 negara ketika itu menghadapi krisis pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan pimpinan elit politik yang melimpah serta turut mengesankan kedudukan ekonomi negara. Keadaan ini menuntut segala kekuatan pengalamannya untuk memegang teraju pimpinan negara.

Kedua, perawakan pribadi beliau cukup sederhana, sabar, pemurah dan rendah diri. Namun ini bukan kelemahan, seperti dakwaan setengah pihak, malahan inilah senjata senyap beliau yang membawa ketenangan kepada lawan sekali pun.

Kesediaan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri mengamalkan ciri-ciri bertolak ansor, tawar-menawar dan sanggup bermediasi dalam banyak hal bukan hanya dengan parti pembangkang bahkan dalam UMNO dan Barisan Nasional sendiri adalah satu keistimewaan pada beliau, sebagai pemimpin dan pentadbir. Beliau rata-rata mengutamakan konsensus bukan konflik.

Ketiga, pendekatan KELUARGA MALAYSIA adalah diisi dan dididukung oleh faktor-faktor luaran dan pribadi tersebut. Konsep KELUARGA MALAYSIA beliau dengan mudah diterap dan diterima dalam Dasar Pembangunan Negara, Blueprint Pembangunan Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Negara dan Indeks Perpaduan Nasional yang sedia. Dengan sendirinya KELUARGA MALAYSIA mempunyai saluran pelaksanaan daripada paras pusat, ke negeri, ke daerah dan komuniti akar umbi.

Tiga perkara ini juga akan menjadi landasan terpenting meluncur licin usaha beliau di masa depan nanti, menuju ke arah perlanjutan jawatannya sebagai Perdana Menteri ke 10.

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin FASc, Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM & Penyandang Kursi UNESCO @UKM

Beliau juga Penasihat Perpaduan, Kementerian Perpaduan Negara, Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments