Kerteh FC cipta sejarah Kelab Bola Sepak pertama tubuh koperasi 

0

KERTEH, 7 Januari – Kelab Bola sepak komuniti, Kerteh FC yang berpangkalan di Mukim Kerteh, Terengganu mencipta sejarah baharu apabila menjadi kelab bola sepak pertama di negara ini menubuhkan koperasi.

Presidennya, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, keahlian koperasi itu adalah berasaskan keahlian penyokong-penyokong Kerteh FC dari seluruh negara.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan di Dewan Sivik Kerteh semalam di mana hampir 60 orang telah menghadiri mesyuarat ini yang bertujuan untuk melantik Ahli Lembaga Koperasi (ALK), membentuk serta meluluskan undang-undang kecil KPKBKB.

Setakat ini kita telah menerima maklum balas menggalakkan menerusi pendaftaran awal seramai hampir 200 orang yang terdiri daripada penyokong Kerteh FC yang juga para ibu bapa pelatih-pelatih akademi Kerteh FC untuk menjadi ahli koperasi,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambah beliau, mesyuarat semalam telah memutuskan Koperasi Penyokong Kelab Bola sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) sebagai nama yang akan didaftarkan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Mesyuarat juga bersetuju sebulat suara melantik anak jati Kerteh, Hazran Mohamed sebagai Pengerusi Koperasi bersama lima lagi ALK.

“Kita meletakkan sasaran awal untuk menarik seramai lebih kurang 3 ribu ahli koperasi dan kita ada menawarkan yuran istimewa untuk tempoh 3 bulan pertama ini kepada yang mendaftar awal sebagai ahli.

Matlamat utama kita menubuhkan koperasi ini sebenarnya adalah untuk berkongsi manfaat kepada seluruh komuniti Kerteh dan juga penyokong Kerteh FC.”

Jelas Razeman lagi, mengikut perancangan pihak pengurusan, semua aset Kerteh FC akan diletakkan di bawah pemilikan KPKBKB bagi membolehkan ahli-ahli koperasi mendapat manfaat hasil perniagaan yang dijalankan.

Mereka yang berhasrat untuk menjadi ahli KPKBKB, boleh menghubungi sekretariat koperasi menerusi emel admin@kertehfc.com.

Kerteh FC yang ditubuhkan pada 2018, dimiliki oleh syarikat KAL Services Sdn Bhd dan turut menguruskan kompleks Stadium Mini Kerteh, akademi latihan bola sepak dan juga lain-lain perniagaan termasuk cenderahati kelab.

Kelab bola sepak komuniti itu sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menjalin kerjasama dengan sebuah akademi bola sepak yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol iaitu RieraSport dan pemiliknya Oscar Riera dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kerteh FC.

Untuk rekod, Kerteh FC sebelum ini menjadi Juara Liga Perdana dan Juara Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019.

Dengan status pasukan Liga M5, Kerteh FC turut memiliki Skuad Akar Umbi dari pelbagai peringkat umur bermula dari Bawah 6 Tahun.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply