KUALA LUMPUR, 12 Feb – Lebih lima dekad kerjasama strategik Malaysia–Jepun terus membuahkan hasil apabila lebih 1,000 belia tempatan berpeluang menjalani latihan industri di Jepun, manakala kira-kira 3,000 lagi menerima manfaat program kemahiran dalam negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebahagian besar daripada kumpulan berkenaan kini berjaya menempatkan diri dalam sektor swasta, khususnya syarikat multinasional Jepun yang beroperasi di Malaysia.
“Tahun ini menandakan hampir enam dekad kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan OISCA International sejak ia bermula pada 1967.
“Sejak awal, lebih 1,000 belia menjalani latihan industri di Jepun, manakala 3,000 lagi mengikuti program kemahiran tempatan, dengan kira-kira 70 peratus kini bekerja di sektor swasta, terutama syarikat multinasional Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2026, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif OISCA Antarabangsa, Yasuaki Nagaishi dan Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, hubungan Malaysia dan Jepun terbina atas asas kepercayaan, saling menghormati serta perkongsian nilai sejak 1957 lagi.
Menurutnya, kerjasama MARA–OISCA bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah membentuk belia yang berdisiplin, beretika serta mempunyai kepimpinan tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu, inovasi dan teknologi digital kini menjadi pemacu utama daya saing ekonomi global moden, berbanding kebergantungan kepada sumber asli semata-mata.
Dalam perkembangan sama, MARA-OISCA menerusi MARA-OISCA International Business Forum (MOIBF) 2026 menghimpunkan kira-kira 300 usahawan, termasuk 200 usahawan Bumiputera dan 100 usahawan antarabangsa.–THE MALAYA POST

Leave a Reply