Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAGPMS mahu ART dinilai secara telus, utamakan kepentingan negara

GPMS mahu ART dinilai secara telus, utamakan kepentingan negara

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat perlu dinilai secara telus dan menyeluruh sebelum diratifikasi.

Menurut Presiden GPMS, Fazreen Fauzi, pihaknya mengikuti perkembangan ART secara dekat kerana perjanjian itu melibatkan implikasi besar terhadap ekonomi, industri dan masa depan generasi muda negara.

Merujuk laporan The Malaya Post bertajuk “ART: Orang lain runding, orang lain pula membersihkan”, GPMS memahami bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani bukan perunding asal perjanjian tersebut. Namun, sebagai menteri yang bertanggungjawab ketika ini, beliau memikul tanggungjawab untuk menilai semula dan memastikan kepentingan nasional terus dipertahankan.

GPMS berpandangan ART tidak boleh dinilai secara terasing. Ia perlu dilihat dalam konteks hubungan dagangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang bernilai sekitar RM233 bilion setahun, struktur industri tempatan serta kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Walaupun hubungan perdagangan itu strategik, GPMS menegaskan setiap klausa dalam perjanjian tetap perlu diteliti dengan rapi, khususnya kerana wujud perbezaan kuasa rundingan antara negara maju dan negara membangun.

GPMS turut mengambil maklum bahawa ART masih belum diratifikasi dan hanya akan berkuat kuasa selepas pertukaran notis rasmi antara kedua-dua negara.

Tambah beliau, fasa ini adalah peluang penting untuk kerajaan membuat semakan mendalam, mendapatkan pandangan industri dan Parlimen serta mengelakkan kesilapan dasar yang sukar diperbetulkan pada masa hadapan.

GPMS turut menekankan bahawa ART berpotensi memberi kesan kepada sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta kesihatan.

“Jika berlaku peningkatan tarif atau syarat perdagangan yang membebankan, ia boleh menjejaskan daya saing eksport negara dan memberi kesan kepada peluang pekerjaan rakyat, khususnya golongan muda. Oleh itu, analisis kos dan manfaat perlu dibuat secara teliti sebelum keputusan dimuktamadkan”, katanya.

Dalam masa sama, GPMS menyambut baik pendekatan Datuk Seri Johari yang tidak mempertahankan ART secara membuta tuli dan bersedia menilai semula klausa yang boleh diperbaiki.

Katanya, ketelusan dan keterbukaan dalam membuat keputusan adalah elemen penting dalam tadbir urus yang baik, terutama apabila melibatkan perjanjian antarabangsa yang memberi kesan jangka panjang terhadap kedaulatan ekonomi negara.

Tiga Cadangan GPMS

Sehubungan itu, GPMS mengemukakan tiga cadangan utama:

  • Penilaian ART dibuat secara telus dan berasaskan data serta analisis impak menyeluruh.
  • Industri tempatan dan peluang pekerjaan rakyat dilindungi, khususnya dalam sektor strategik.
  • Parlimen serta wakil belia dan industri diberi ruang bermakna sebelum sebarang keputusan dibuat.

Presiden GPMS, Fazreen Fauzi berkata ART perlu dilihat sebagai instrumen dasar dan bukan simbol politik.

“Selagi proses ratifikasi belum dimuktamadkan, ruang untuk penambahbaikan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan negara dan generasi akan datang,” katanya.

GPMS memaklumkan akan terus mengikuti perkembangan ART secara kritikal tetapi konstruktif serta menyokong langkah yang benar-benar menjaga kedaulatan ekonomi dan masa depan anak muda Malaysia.–THE MALAYA POST

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments