Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berlaku dalam keadaan beliau mewarisi satu perjanjian besar yang telah dirunding lebih awal, iaitu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat.
Beliau bukan perunding asal dan bukan individu yang membentuk kandungan perjanjian tersebut, namun hari ini beliaulah yang terpaksa berdepan dengan segala persoalan, kritikan serta implikasi politik dan ekonomi yang lahir daripadanya.
Satu fakta penting yang sering terlepas pandang ialah ART masih belum diratifikasi dan dikuatkuasakan. Menurut Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ia hanya akan berkuat kuasa selepas Malaysia dan Amerika Syarikat saling bertukar notis bertulis bagi mengesahkan semua proses ratifikasi dalaman telah selesai dan kedua-dua negara bersedia melaksanakannya. Ini bermakna, ruang untuk menilai, memperhalusi dan melindungi kepentingan negara masih terbuka.
Dalam konteks ini, pendekatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani wajar diberi perhatian. Beliau tidak mempertahankan ART secara membuta tuli, sebaliknya mengakui secara terbuka bahawa terdapat klausa yang boleh diperbaiki serta membuka pintu dialog dengan semua pihak, termasuk pembangkang. Pendekatan ini mencerminkan kefahaman bahawa perjanjian antarabangsa yang memberi kesan jangka panjang terhadap kedaulatan negara dan industri tempatan tidak wajar diperlakukan sebagai dokumen kebal semakan.
Pendekatan ini jelas berbeza dengan era kepimpinan MITI sebelum ini di bawah Tengku Zafrul Aziz. Ketika ART dikritik, reaksi yang diberikan lebih bersifat defensif, malah pengkritik dilabel sebagai “tidak menghormati penjawat awam”. Kritikan dianggap gangguan, bukan sebahagian daripada proses semak dan imbang. Lebih ironik, kebimbangan terhadap ART turut disuarakan oleh Ahli Parlimen kerajaan sendiri seperti Rafizi Ramli, Hasan Abdul Karim dan Wong Chen, namun ruang perbahasan ketika itu ditutup rapat.

Menurut Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerajaan kini sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap semua klausa ART. Jumlah dagangan Malaysia–Amerika Syarikat yang mencecah RM233 bilion tahun lalu menjadi antara faktor utama rundingan ini diteruskan, dengan pertimbangan ekonomi sebagai asas. Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya tarif tinggi dikenakan oleh Amerika Syarikat, Malaysia akan berdepan kesukaran untuk kekal kompetitif, khususnya dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta industri berkaitan kesihatan. Malah, sektor-sektor ini berisiko tidak lagi berdaya maju sekiranya tarif melonjak sehingga 40 peratus berbanding sekitar 19 peratus ketika ini.
Walaubagaimanapun, jika ART hari ini mempunyai klausa yang sukar dipinda, hakikat itu bukan kegagalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Ia adalah kesan langsung keputusan dan pendekatan lampau. Peranan beliau kini ialah mengenal pasti kelemahan, menggunakan ruang sebelum ratifikasi dan memastikan kepentingan negara dilindungi sebaik mungkin.
Dan setakat ini, itulah yang beliau lakukan, secara terbuka, telus dan objektif, dengan keikhlasan serta kesungguhan mempertahankan kepentingan ekonomi dan kedaulatan negara, tanpa berselindung atau berlindung di sebalik retorik politik.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani datang daripada latar belakang korporat dan terbiasa dengan rundingan yang keras serta berpaksikan kepentingan bersama. Berdepan dengan Presiden Donald Trump sememangnya bukan tugas mudah, namun dari segi watak dan pendekatan, kedua-duanya datang daripada acuan yang hampir sama iaitu tokoh perniagaan yang berfikir secara transaksional, bercakap terus kepada kepentingan dan menghormati ketegasan berbanding retorik.
Kesamaan inilah yang memberi ruang realistik untuk rundingan semula dilakukan, sekurang-kurangnya bagi memperbaiki klausa yang benar-benar menekan kepentingan negara.
Namun isu sebesar ini tidak wajar dipikul oleh seorang menteri semata-mata. Ia menuntut kebertanggungjawaban dan sokongan di peringkat tertinggi, bukan sekadar membiarkan menteri baharu membersihkan kesan rundingan menteri terdahulu.

Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

Leave a Reply