Tuesday, July 16, 2024
HomeBERITAKerajaan Negeri Perak bentuk pasukan khas merangka strategi sesuai dengan pelbagai cabaran...

Kerajaan Negeri Perak bentuk pasukan khas merangka strategi sesuai dengan pelbagai cabaran semasa

Kerajaan Negeri Perak sedang merangka Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak dengan menggunakan kaedah-kaedah diluar daripada pendekatan biasa bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

Ini berikutan keprihatinan pihak kerajaan mengambil maklum tentang kekangan yang sedang dihadapi oleh komuniti perniagaan dan para pemain industri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini berlanjutan ke fasa kedua pelaksanaan.

Sehubungan itu Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru seluruh jentera pentadbiran kerajaan dan semua rakyat untuk merenung dan memahami krisis yang sedang dihadapi dalam negara.

“Buat permulaan, kita telah membentuk sebuah pasukan khas untuk merangka strategi yang sesuai dengan pelbagai cabaran semasa,” ujar beliau dalam satu majlis pengumuman portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak baharu.

Beliau turut menyatakan kini negara dan semua masyarakat sedang berdepan dengan pelbagai cabaran yang amat berbeza dengan apa yang pernah dilalui sebelum ini.

“Kita sedang berperang dengan wabak yang telah meragut hampir 70 ribu nyawa manusia di seluruh dunia, termasuk 62 rakyat Malaysia sehingga semalam.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik COVID-19 telah mencetuskan kemelesetan ekonomi global.

“IMF juga memberi amaran yang kesan kemelesetan ekonomi kali ini lebih buruk daripada Krisis Kewangan Global yang melanda pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata ada pihak yang meramalkan dunia bakal berdepan dengan krisis yang jauh lebih teruk daripada The Great Depression, iaitu kemelesetan ekonomi terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat pada tahun 1929 hingga 1938.

Tambahnya, krisis pertama pasca Revolusi Perindustrian itu, telah memberi kesan yang begitu besar kepada ekonomi dunia pada waktu itu.

“Susulan penularan pandemik COVID-19, Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini kepada negatif-2 peratus sehingga 0.5 peratus.

“Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia atau MIER pula mengunjurkan ekonomi negara akan mengucup kepada negatif -2.9 peratus pada tahun ini berbanding pertumbuhan 4.3 peratus yang dicatatkan pada tahun2019.

“MIER juga meramalkan lebih 2.4 juta pekerjaan, khususnya pekerjaan-pekerjaan berkemahiran rendah akan hilang, susulan pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan angka-angka ini sememangnya meresahkan,” ulasnya lanjut.

Peduli akan kesulitan yang dihadapi rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN pada 27 Mac lalu.

Pakej rangsangan bernilai RM250 bilion ini adalah intervensi awal Kerajaan Persekutuan bagi menyelamatkan negara ini daripada bencana ekonomi yang lebih buruk.

“Kerajaan negeri amat mengalukan-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri semalam mengenai Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN).

“Peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana yang mengaji hampir 65 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara, pastinya memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha PKS di negeri Perak.

“Selain itu, bagi pihak Kerajaan Negeri Perak pula, kita telah menyalurkan pelbagai insentif bantuan awal kepada pelbagai kumpulan masyarakat yang terjejas dengan pelaksanaan PKP,” tambahnya.

Menurutnya bantuan turut dipanjangkan kepada para petugas barisan hadapan Covid-19 sebagai menghargai pengorbanan mereka.

“Menyingkap kembali sejarah, negara ini telah melalui pengalaman pahit kemelesetan ekonomi pada penghujung tahun 90-an.

“Serangan spekulator ke atas matawang-matawang Asia telah melumpuhkan ekonomi rantau ini.

“Pada Ogos 1998, Malaysia, yang ketika itu dikenali sebagai Harimau Asia telah mengalami kemelesetan, apabila ekonomi mencatatkan penguncupan atau negatif 7.4 peratus. Lebih 80 ribu rakyat telah hilang pekerjaan pada ketika itu.

“Alhamdulillah,langkah ‘unorthodox’ yang diambil oleh kerajaan pada waktu itu, tanpa meminjam wang daripada IMF, telah berjaya menyelamatkan negara daripada krisis yang lebih buruk,” ujar beliau.

Beliau berkata sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terlepas daripada kesan Krisis Kewangan Global yang melanda pada tahun 2009.

Ekonomi negara menguncup pada kadar -1.5 peratus, namun sekali lagi kita berjaya mengatasi badai itu dan memulihkan ekonomi negara.

“Bagaimanapun, apa yang kita hadapi pada tahun ini jauh berbeza daripada cabaran-cabaran yang lalu.

“Ancaman pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa meminta rakyat untuk berada dirumah bagi mengekang penularan virus ini sekaligus merencatkan keseluruhan aktiviti sosial dan ekonomi.

“Bagi menangani cabaran yang begitu rumit ini, kita perlu memikirkan pendekatan ‘out-of-the-box’ atau pendekatan diluar kotak,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menyatakan pandangan bahawa keadaan sekarang memerlukan pendekatan “out of the box” atau pendekatan di luar kotak.

Mengambil contoh, Dato’ Seri Ahmad Faizal memberitahu pendekatan baharu diperlukan  sebagaimana President Franklin D. Roosevelt membuat keputusan berani untuk beralih daripada polisi ekonomi ‘laissez-faire’ kepada teori ekonomi Keynesian, cetusan ahli ekonomi British, John Maynard Keynes.

Program New Deal oleh President Roosevelt, yang berasaskan kepada teori Keynesian, telah berjaya mengeluarkan Amerika Syarikat dan seluruh dunia daripada kemelut ‘The Great Depression’.

“Oleh itu, kita perlu perlu bersedia untuk mengambil pendekatan-pendekatan yang luar daripada kebiasaan dan perlu merancang dan menyusun langkah untuk menghadapi gelombang yang lebih besar.

“Kita perlu berdepan dengan hakikat bahawa kehidupan kita tidak akan lagi sama seperti sebelum ini.

“Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan, sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” tambahnya.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments