Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAKembara Ramadan KPT 2025: Dr. Zambry hadir Iftar bersama warga USM, umum...

Kembara Ramadan KPT 2025: Dr. Zambry hadir Iftar bersama warga USM, umum bantuan mahasiswa

Pulau Pinang, 10 MAC – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meneruskan Program Kembara Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 dengan singgah ke Universiti Sains Malaysia (USM) selepas sesi dialog di universiti tersebut.

Ketibaan beliau di Masjid Al Malik Khalid, USM, disambut mesra kira-kira 2,000 warga universiti, termasuk pelajar tempatan dan antarabangsa yang sedang bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa.

Dalam suasana penuh keakraban, Dr. Zambry turut menyertai sesi rewang, berinteraksi dengan pelajar, kakitangan serta masyarakat setempat yang aktif mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan.

Bantuan Kebajikan untuk Mahasiswa

Dalam majlis yang sama, Dr. Zambry turut menyaksikan penyampaian cek cura zakat dan sumbangan daripada beberapa badan korporat, termasuk Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad

Sumbangan ini bertujuan membantu pelajar yang memerlukan serta menyokong pelbagai inisiatif kebajikan universiti.

Selain itu, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) turut menyumbangkan Bantuan Kasih Ramadan sebanyak RM250 kepada 20 mahasiswa bagi meringankan beban perbelanjaan mereka sepanjang bulan Ramadan.

Iftar dan Solat Berjemaah, Eratkan Kebersamaan

Majlis diteruskan dengan berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah bersama warga USM, mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan yang menjadi teras Program Kembara Ramadan KPT 2025.

USM merupakan lokasi keempat dalam siri jelajah Kembara Ramadan, yang akan diteruskan ke beberapa institusi pendidikan tinggi lain bagi memperkukuh hubungan KPT dengan komuniti akademik serta memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi keutamaan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Naib Canselor USM, Dato’ Ir. Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Mengulas mengenai program tersebut, Dr. Zambry menyatakan kegembiraannya dapat berbuka puasa bersama warga USM dalam suasana yang sederhana tetapi penuh keberkatan.

“Terima kasih kepada warga USM atas layanan mesra dan hidangan yang enak. Insya-Allah, ada rezeki kita berjumpa lagi. Destinasi seterusnya dalam Kembara Ramadan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments