Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMajlis Iftar KPT perkukuh semangat kekeluargaan dan kesederhanaan di Bulan Ramadan

Majlis Iftar KPT perkukuh semangat kekeluargaan dan kesederhanaan di Bulan Ramadan

Putrajaya, 11 Mac – Semangat kekeluargaan dan kebersamaan jelas terpancar dalam Majlis Iftar bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ahli keluarga mereka yang berlangsung dengan penuh harmoni.

Majlis yang diadakan di lobi KPT ini bukan sahaja meraikan staf kementerian, tetapi turut membuka ruang kepada ahli keluarga mereka untuk turut serta, mengukuhkan nilai kebersamaan dalam komuniti kementerian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, dalam ucapannya, menegaskan kepentingan membudayakan semangat keluarga besar dalam kalangan warga KPT.

“Hari ini kita bukan sahaja meraikan staf KPT, tetapi kita juga menjemput ahli keluarga mereka untuk turut serta berbuka puasa secara berjemaah. Inilah konsep keluargaan dan kebersamaan yang saya terapkan dalam keluarga besar KPT,” katanya.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai menyaksikan pelbagai lapisan warga kementerian daripada pengurusan tertinggi, wakil pelajar, kakitangan sokongan, sehingga ke tetamu jemputan – duduk bersama berbuka puasa secara bersila. Ia mencerminkan nilai kesederhanaan dan kebersamaan yang amat ditekankan dalam bulan Ramadan.

Selain menjamu selera, Dr. Zambry turut menyeru agar Ramadan dijadikan sebagai bulan penyucian hati, mendidik diri untuk menjauhi perbalahan serta budaya menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Elakkanlah budaya berkongsi dan menyebar maklumat tidak benar, lagi-lagi budaya ‘WhatsApp layang’. Yang mana ada kelebihan, tampung-tampunglah mereka yang kekurangan kerana masing-masing ada lebih dan kurang tersendiri,” ujarnya.

Sebagai tanda penghargaan kepada 98 orang Pembantu Khidmat Am, Dr. Zambry menyampaikan sumbangan tajaan Kelab Sukan KPT sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memastikan kelancaran operasi harian kementerian.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada ahli-ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Acara diteruskan dengan sesi ramah mesra antara Dr. Zambry dan warga kementerian, di mana beliau meluangkan masa mendengar pandangan dan pengalaman mereka yang hadir.

Rata-rata peserta melahirkan rasa gembira dengan penganjuran majlis ini dan berharap ia dapat dijadikan acara berkala.

Mengakhiri majlis, Dr. Zambry turut menyertai solat Isyak dan Terawih berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Salman bin Idrus, Penolong Pengarah Kanan JAKIM.

“Terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Insya-Allah kita akan teruskan inisiatif sebegini untuk mempererat hubungan dalam keluarga besar KPT,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments