Putrajaya, 10 MAC – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menerima Ketua Setiausaha (KSU) yang baharu, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, yang menggantikan Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, yang menamatkan perkhidmatan secara wajib pada 3 Mac lalu.
Pelantikan Datuk Dr. Anesee diumumkan dalam satu majlis rasmi di KPT, di mana beliau memulakan tugasnya dengan sesi ‘clock in’ sebagai simbolik permulaan tanggungjawab baharu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zambry Abd. Kadir, turut mengalu-alukan kehadiran beliau dan berbincang mengenai hala tuju kementerian serta agensi di bawahnya.
“Datuk Dr. Anesee merupakan seorang tokoh pentadbiran yang berpengalaman luas dalam sektor awam dan pendidikan. Saya berharap beliau dapat bersama-sama membantu mengangkat martabat pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih baik. Yang lebih penting, kita dapat bekerja sebagai satu pasukan – daripada ‘I’ kepada ‘We’,” kata Dr. Zambry.
Datuk Dr. Anesee Ibrahim sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau mempunyai latar belakang akademik yang kukuh, dengan kelayakan Doktor Falsafah dari Durham University, United Kingdom.
Beliau juga merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), di mana beliau menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, Sarjana Muda, serta Diploma.
Selain pengalaman dalam pentadbiran perkhidmatan awam, beliau pernah memegang peranan sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Perancis, yang memberikannya perspektif antarabangsa dalam bidang pendidikan dan dasar akademik.
Pelantikan Datuk Dr. Anesee dijangka memberikan dimensi baharu dalam pentadbiran KPT, khususnya dalam meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara dan memperkukuh kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
Sebagai pemimpin dalam kementerian, beliau bakal memainkan peranan penting dalam memastikan dasar-dasar kerajaan dalam sektor pendidikan tinggi dilaksanakan dengan berkesan, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Dr. Zambry turut menyampaikan ucapan selamat datang kepada Datuk Dr. Anesee dan berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi demi kemajuan pendidikan tinggi negara.
“Selamat datang dan selamat menjalankan tugas Datuk Dr. Anesee,” ujar Dr. Zambry.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply