Kekuatan mata wang bergantung kepada asas ekonomi yang kukuh – Zafrul

0

Kuala Lumpur, 13 Sept – Prestasi ringgit berbanding dolar AS perlu dilihat secara menyeluruh, dan tidak hanya dibanding dengan dolar AS semata-mata.

Tegas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kekuatan mata wang juga bergantung kepada asas ekonomi yang kukuh, dan ia lebih penting bagi memastikan pengukuhan ringgit Malaysia.

Justeru, katanya tiada keperluan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan ekonomi Malaysia kekal di landasan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang semakin berkembang.

“Pada asasnya, ekonomi negara semakin berkembang kukuh dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 5.0 peratus, dan suku kedua 2022 juga mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus, manakala suku ketiga ini kita jangkakan ia lebih kukuh.

“Justeru, kita tidak boleh terus menilai mata wang ringgit jatuh kerana sebenarnya ringgit juga meningkat berbanding dengan banyak nilai mata wang lain di dunia.

“Kita juga dapat melihat bukan sahaja nilai ringgit yang telah turun berbanding dolar AS, malah negara lain seperti mata wang Yen, Pound (Sterling), Euro, Yuan, Peso, Baht, Won juga menurun berbanding dolar AS.

“Tetapi jika kita bandingkan ringgit dengan sesetengah mata wang asing yang lain (Yen, Pound (Sterling), Euro, Yuan, Peso, Baht, Won), nilai ringgit lebih mengukuh berbanding semua mata wang asing ini.

“Paling penting sebagai negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara kalau dibandingkan dengan negara lain.

“Jadi janganlah kita tengok pada satu aspek saja dan lebih penting sekarang adalah kerajaan memperkukuh asas ekonomi dan kewangan negara kerana asas yang kukuh dapat membantu mengukuhkan ringgit,” katanya dalam satu petikan video di Facebook rasmi beliau.

Terdahulu Datuk Seri Zafrul turut mengulas mengenai pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya kerajaan tidak boleh menentukan bank untuk memberi moratorium.

Katanya kerajaan akan terus menggalakkan polisi yang menyokong dasar kepentingan rakyat, yang mana banyak inisiatif sudah dilaksanakan kerajaan dalam membantu pemulihan PKS seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Beliau berkata, bank menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada PKS yang benar-benar memerlukannya, malah bank masih terbuka membantu mereka yang begitu memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan perniagaan.

“Apa yang penting, bank mesti terus menyokong PKS yang berdepan kesulitan. Moratorium pukal (blanket moratorium) tidak sesuai kerana dalam jangka panjang kita perlu menyokong syarikat yang boleh beroperasi,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply