Friday, October 4, 2024
HomeBERITAJambatan Angkat Terengganu dinobat Ikon Pelancongan Baharu Terbaik tahun 2019

Jambatan Angkat Terengganu dinobat Ikon Pelancongan Baharu Terbaik tahun 2019

Jambatan ikonik Terengganu atau ‘drawbridge’ semakin mendapat perhatian ekoran reka bentuknya yang cantik dan unik.

Buat julung kalinya jambatan angkat tersebut dinobatkan sebagai Ikon Pelancongan Baharu Terbaik tahun 2019.

Ia menjadi satu kebanggaan buat negeri Terengganu apabila menerima anugerah tersebut pada acara Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2019 di Selangor, semalam.

Terengganu yang sememangnya sinonim dengan aktiviti mencadat sotong serta sebagai salah satu pusat percutian yang popular turut merangkul beberapa anugerah di acara berkenaan.

Aktiviti mencandat sotong dinobatkan sebagai Program Pelancongan Paling Popular, manakala resort percutian, Mimpi Perhentian Terengganu di Pulau Perhentian diangkat sebagai Resort Pulau Terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, YB Ariffin Deraman turut menyeru semua pihak termasuklah agensi dan pemain pelancongan dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Pengiktirafan yang diberi telah membuktikan kerjasama kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu dengan TI Properties dan pemain pelancongan dalam usaha mempromosikan jambatan angkat sebagai mercu tanda utama pelancongan negeri.

“Sehingga hari ini, pengunjung berbayar ke jambatan angkat sudah mencecah angka 27,553 orang selepas dikenakan tiket sejak 15 September lalu.

“Pelbagai aktiviti promosi dan program dirangka oleh Tourism Terengganu dan TI Properties untuk 2020 bagi menambah kedatangan pengunjung ke ‘drawbridge’ seperti Pertandingan Kolek Drawbridge, Lumba Perahu Layar dan Pertandingan Layang-Layang Sedunia serta acara tahunan, iaitu Tower Run, selain Pertandingan Triathlon iaitu berlari, kayuh basikal dan berenang ‘across outer basin’ di jambatan angkat.

“Ini semua tidak termasuk lawatan media dan agensi pelancongan yang sudah dan akan diadakan secara berkala. Semoga dengan pelbagai pengisian termasuk pembukaan restoran di menara ‘drawbridge’ nanti akan dapat dijadikan daya penarik pelancong ke Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Isham Ishak yang mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ariffin.

Sempena program World Travel Mart yang bakal diadakan di London pada awal November ini satu taklimat khas mengenai ikon pelancongan baharu Terengganu akan di maklumkan kepada pihak media luar negara.

Dalam pada itu YB Ariffin berkata, aktiviti candat sotong Terengganu yang diadakan pada sekitar April hingga Julai setiap tahun itu ternyata menjadi tarikan oleh pelancong di dalam dan luar negara.

Katanya, acara yang mempunyai keunikan tersendiri itu dimasukkan sebagai aktiviti utama VMY2020 dan akan dilancarkan di daerah Marang pada awal April 2020.

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments