Wednesday, June 12, 2024
HomeBERITAInilah waktunya kita solat berjemaah di rumah, mohon ke hadrat Allah SWT...

Inilah waktunya kita solat berjemaah di rumah, mohon ke hadrat Allah SWT agar bencana ini dapat dihindari semua – Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru seluruh rakyat Perak mengambil serius dan berperanan sebaik mungkin dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 16 Mac lalu.

Beliau sendiri turut terkesan dengan rayuan yang diutarakan oleh Perdana Menteri kelmarin pada Perutusan Khas COVID-19 menggesa agar warga Malaysia “stay at home” dan hari ini Tan Sri Muhyiddin turut melancarkan kempen dengan hashtag #dudukrumah di laman rasmi media sosial milik beliau.

Dalam pada itu, sebagai pemimpin dalam negeri beliau mengambil tanggungjawab memastikan agar seluruh rakyat Perak menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan bertujuan memutuskan rantaian jangkitan wabak pandemik COVID-19 yang kini mencecah 900 kes dan dua kematian setakat hari ini (19 Mac).

“Saya fikir eloklah kita cuma kalau kata duduk di rumah tu, duduk di rumah diam diam, kita lebihkan masa, ini peluang Allah telah berikan kepada kita untuk mengeratkan lagi hubungan kita sesama keluarga, ini pun peluang Allah berikan nikmat kepada kita untuk kita ambil masa ini, ambil peluang ini untuk kita menghafal surah surah, kita membuat kajian lebih tentang diri kita, muhasabah dan sebagainya sambil pada itu saya menyeru kepada semua orang, menjaga kebersihan diri dan rumah tangga kita.

“Inilah masanya sambil kita sudah dirumah bersama anak dan isteri, kita boleh sama-sama bergotong royong cuci rumah kita, ini akan mengeratkan silaturahim sesama kita, In Shaa Allah.

“Bukan sahaja ini satu bencana bagi kita semua tetapi bencana itu juga datang dengan rahmat daripada Allah SWT yang perlu kita ambil peluang ini dengan sebaik mungkin,” ujar beliau ketika menyampaikan perutusan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Negeri Perak.

Pada sesi pertama Mesyuarat bersama anggota Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal berkata dalam perbincangan berkenaan beliau turut menerima laporan masih terdapat sebilangan masyarakat yang masih tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Malah katanya ada juga di kalangan jemaah yang masih bertegas untuk mendirikan solat berjemaah di masjid sedangkan arahan penangguhan sementara semua aktiviti keagamaan telah dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab.

Lebih membimbangkan apabila timbul pergaduhan di antara para jemaah yang masih berdegil dengan polis dan juga pegawai pegawai masjid.

“Jadi perkara-perkara seperti ini saya harap tidak perlu kita lakukan kerana saya harap rakyat semua benar benar faham bahawa tindakan kerajaan untuk mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan adalah untuk kebaikan kita semua.

“Selain daripada untuk menjaga diri kita sendiri daripada dijangkiti virus, wabak yang mengancam nyawa ini ianya juga perlu dibuat untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini.

“Jadi amat penting agar kota semua mengambil serius Perintah Kawalan Pergerakan, ianya tidak akan dilakukan oleh mana mana kerajaan dalam dunia kerana dengan berlakunya perintah seperti ini, banyak perkara terhalang, kita tidak dapat menjalankan ataupun menaikkan ekonomi negara kita, banyak perkara yang akan menyulitkan pembangunan negara tetapi ianya perlu dibuat kerana kita dapati hari ini sendiri kita nampak contoh contoh di negara lain, di Italy contohnya lebih empat ribu yang telah didapati positif COVID-19 ini telah pun terkorban, empat ribu telah pun maut akibat pandemik ini, jadi kita bimbang jika perkara ini berlaku di negara kita,” katanya.

Beliau menambah tindakan yang diputuskan kerajaan hasil daripada perbincangan bersama golongan profesional antaranya para doktor, pakar-pakar perubatan.

“Pihak berwajib telah memperhalusi setiap perkara sebelum membuat keputusan drastik.

“Kepada seluruh rakyat walaupun masih berada dirumah tetapi masih pula nak duduk di depan rumah, di tepi jalan, nak bersembang dengan jiran tetangga tak perlulah.

“Inilah waktunya kita bersolat berjemaah di rumah sambil itu kita sama sama kita adakan solat hajat sesama keluarga, kita mohon ke hadrat Allah SWT agar bencana yang amat bahaya ini dapat dihindarkan daripada diri kita, keluarga kita, jiran tetangga kita, masyarakat kita, In Shaa Allah pada suatu hari nanti dapatlah kita meneruskan usaha membangunkan negara kita, mencari rezeki untuk keluarga kita dan kita memajukan negara kita balik ke landasan yang kita kehendaki,” tambahnya.

— THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments