Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAHaniff Khatri bertegas tidak akan tunduk kepada intimidasi dan ugutan serta akan...

Haniff Khatri bertegas tidak akan tunduk kepada intimidasi dan ugutan serta akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi PERDA

Hari ini, sekumpulan penyokong tegar Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan peguam Tuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili seorang bekas kakitangan presiden PKR itu atas dakwaan perlakuan tidak senonoh yang sedang disiasat Bukit Aman.

Pro ’98 Reformis Malaysia mendakwa Tuan Haniff sengaja terbabit dalam “mainan politik kotor” dengan mewakili Muhammed Yusoff Rawther yang disoal siasat polis kerana mendakwa Dato’ Seri Anwar mencabul kehormatannya tahun lalu.

Kumpulan itu turut menggesa Tuan Haniff Khatri meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) serta menyatakan secara kasar supaya peguam tersohor berkenaan berambus dari memimpin PERDA di negeri terbabit.

Menjawab gesaan sekumpulan penyokong tegar Presiden PKR berkenaan, peguam terkenal Tuan Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada intimidasi dan ugutan serta menyarankan untuk menulis surat secara rasmi kepada YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar untuk memajukan aduan untuk membuat keputusan lanjut.

“Sebagai Pengerusi PERDA yang bertanggungjawab dan sebagai seorang peguambela dan peguacar yang profesional dan dalam mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) yang dihormati juga oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sambil menegaskan, beliau mengingatkan bahawa PERDA adalah sebuah agensi persekutuan dan bukanlah agensi politik.

“Lantikan saya sebagai Pengerusi PERDA bukanlah satu lantikan jawatan bergaji Eksekutif sepenuh masa, dan tidak menghalang saya daripada menjalankan kerjaya saya sebagai Peguambela dan Peguamcara sepenuh masa, sama sekali.

“Begitu juga pelantikan saya sebagai Pengerusi PERDA bukanlah atas permintaan mahupun permohanan saya secara peribadi, malah adalah di atas keputusan dan budibicara YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar, bagi tujuan khusus untuk menangani dan menyelesaikan permasalahan tadbir-urus pimpinan PERDA terdahulu dan untuk membawa PERDA kembali kepada falsafah dan objektif penubuhan PERDA di bawah Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang 1983 (Akta 282),” ujarnya.

Melalui kenyataan balas terhadap sekumpulan Pro ‘98 Reformasi, beliau juga menyatakan sejak pelantikan bermula 4 Januari lalu, kerjaya sebagai peguambela dan peguamcara tidak menghalangnya berulang ke pejabat PERDA untuk tempoh dua hari setiap minggu sehingga bulan Mei bagi tujuan keperluan segera pengambilan tindakan, keputusan dan proses perundangan dalam pembaikpulihan tadbir urus dengan kerjasama penuh pihak pengurusan dan warga kerja PERDA.

“Selepas itu untuk tempoh dua hari setiap dua minggu mulai bulan Jun sehingga kini, bagi tujuan menyelia dan mengawasi pelaksanaan kesemua program lama dan baru untuk pembangunan dan kejayaan masyarakat PERDA.

“Butiran lengkap kesemua tugasan, kerja dan program PERDA yang dilaksanakan oleh PERDA di bawah teraju saya sebagai Pengerusi boleh disemak dan dikaji di di Pejabat PERDA mahupun Pejabat YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar untuk mereka yang berminat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu selain daripada pelantikan terbaru saya sebagai peguam Muhammed Yusoff Rawther dalam urusan guaman berkenaan aduannya baru-baru ini, sebelum ini beliau telah banyak mewakil pelbagai pihak lain dalam kes guaman terhadap pelbagai pihak dalam Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri dan Agensi Awam di bawah kerajaan PH selepas PRU-14.

Tuan Haniff Khatri turut menyenaraikan kes-kes yang dikendalikan beliau ketika di bawah pemerintahan kerajaan PH antaranya;

(a) terhadap Menteri Pertanian Malaysia dan beberapa lagi, berhubung isu “NAFAS”, mulai bulan Julai 2018 (sudah selesai),

(b) terhadap Menteri Pengangkutan Malaysia dan beberapa lagi, berhubung isu “lesen pelabuhan”, mulai bulan Mac 2019 (sudah selesai),

(c) terhadap Menteri Kesihatan Malaysia, berhubung isu “larangan merokok” mulai bulan Disember 2018 dan masih berterusan,

(d) terhadap Kerajaan Negeri Johor, berhubung “penamatan konsesi” mulai April 2019 (sudah selesai),

(e) terhadap Kerajaan Negeri Melaka, berhubung “pengeluaran hakmilik pulau reklamasi” mulai Januari 2019, dan masih berterusan, dan

(f) terhadap Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, berhubung “kebenaran pengkomitan dalam kes “Arwah Adib”, mulai Mei 2019 dan masih berterusan.

Beliau menambah, tidak pernah pun mana-mana pihak bangkitkan tohmahan dan fitnah semata-mata dilantik sebagai Pengerusi PERDA oleh YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar maka kononnya ianya adalah tidak profesional untuk mewakili kesemua anak guam dalam tindakan terhadap menteri kerajaan mahupun kerajaan negeri ataupun Peguam Negara, sedangkan ketiga-tiganya itu adalah di bawah kerajaan PH.

“Semata-mata kerana aduan Muhammed Yusoff Rawther adalah berunsur aduan kesalahan seksual terhadap seorang pemimpin dalam PH, ianya adalah salah dan khilaf untuk dilabelkan sebagai “politik longkang atau gutter politics” tanpa keputusan siasatan, dan satu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa wajib dibenarkan untuk dijalankan, tanpa gangguan atau intimidasi mana-mana pihak sama sekali supaya satu keputusan adil dapat diperolehi terhadap aduan itu.

“Prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) tidak benarkan sesiapa pun diletakkan mengatasi undang-undang (nobody is above the law), tidak kira apa sekalipun kedudukan individu terbabit.

“Bagi saya, kenyataan media Pro ‘98 Reformasi Pulau Pinang bertarikh 12 Disember secara keseluruhannya adalah satu intimidasi dan ugutan berasaskan tohmahan salah terhadap saya untuk saya samada berhenti mewakil saudara Yusoff Rawther atau untuk saya meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi PERDA,” tambahnya.

Tanpa gundah ganjara, Tuan Haniff Khatri sekali la bertegas akan tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi PERDA samada sehingga lantikan ditamatkan oleh pihak YB Menteri Pembangunan dan Luar Bandar ataupun sehingga beliau sendiri membuat keputusan untuk berhenti dari memegang jawatan.

Beliau juga yakin dan percaya telah pun selesai melaksanakan amanah dan tanggungjawab lantikannya sebagai Pengerusi PERDA, ataupun sehingga kedatangan ajal tertakluk kepada yang mana terdahulu.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments