Wednesday, May 15, 2024
HomeBERITACermin kenderaan tidak mengikuti spesifikasi kecerahan, pemandu dan pemilik kenderaan bakal disaman

Cermin kenderaan tidak mengikuti spesifikasi kecerahan, pemandu dan pemilik kenderaan bakal disaman

Pemandu dan pemilik kenderaan bakal dikenakan saman sekiranya cermin kereta tidak mengikut spesifikasi kecerahan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata pemilik kenderaan dengan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan turut dikenakan saman walaupun ketika ditahan penguat kuasa kereta itu dipandu orang lain.

“Sekiranya pemandu ketika itu bukan pemilik kenderaan, saman akan dikeluarkan juga kepada pemilik menjadikan enam saman iaitu tiga saman kepada pemandu dan tiga saman kepada pemilik.

“Bagi kesalahan cermin gelap, tiga saman akan dikeluarkan kepada pemandu iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan,”katanya pada Operasi Khas Cermin Gelap di Stesen Penguatkuasaan JPJ Air Sejuk.

Beliau berkata operasi khas itu dilakukan di tiga lokasi iaitu Jalan Paka-Dungun, di hadapan Stesen Penguatkuasaan Kemaman dan Air Sejuk bermula jam 9 pagi semalam hingga jam 1 tengah hari.

“Setakat ini, sebanyak 781 notis dikeluarkan termasuk 338 saman kesalahan cermin gelap dan sebanyak lima kenderaan disita.

“Sepanjang dua hari operasi khas itu, kategori kenderaan yang paling banyak diberi notis saman membabitkan kesalahan cermin gelap adalah kenderaan persendirian terutama kereta mewah,” ujarnya.

Sehubungan itu, pengarah Zulkarnain turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya termasuk membabitkan spesifikasi ditetapkan bagi ketelusan cermin kenderaan.

“Spesifikasi cermin gelap ditetapkan adalah mengikut standard antarabangsa dan kami khuatir penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi akan mengganggu pemanduan apatah lagi sekarang musim hujan dan boleh menyebabkan kemalangan,” tambahnya.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments