Saturday, July 13, 2024
HomeBERITA'Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia', Kerajaan belum berpuas hati

‘Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia’, Kerajaan belum berpuas hati

Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia.

Walaupun menunjukkan kejayaan yang membanggakan namun Kerajaan masih belum berpuas hati dan telah bertekad untuk mendepani dua cabaran utama iaitu memerangi pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Demikian kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob semasa ucaptama Program Townhall dan Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya.

Katanya pengupayaan Keluarga Malaysia perlu mengimbangi kepentingan spiritual dan rohani dengan pembangunan fizikal dan pengukuhan ekonomi.

Justeru, sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek spiritual, apa yang dibimbangi akan wujud kepincangan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara.

Perdana Menteri berkata sebagai pembuat dasar, Kerajaan perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh dalam menyusun atur segala langkah.

Ia bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar ia dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia.

“Agama merupakan benteng pertahanan jiwa yang menjadi petunjuk dalam memelihara hubungan antara kaum. Oleh itu saya berpandangan perbezaan agama bukanlah suatu halangan untuk bersatu-padu.

“Malah, Islam sendiri mengangkat nilai kebersamaan dalam kepelbagaian rumpun, bangsa dan budaya. Untuk menikmati kesejahteraan dalam sesebuah negara, satu mekanisme ampuh perlu dijadikan landasan.

“Saya mendapati memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan. Ini kerana kemaslahatan itu sendiri merupakan inti pati dalam objektif pensyariatan Islam yang sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah,” katanya.

Tambah beliau dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September lalu, beliau telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni.

“Hari ini pula, kita diperjelaskan tentang pendekatan Maqasid Syariah dalam tadbir urus Keluarga Malaysia. Dengan mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan, saya berharap setiap Kementerian dan agensi dapat menzahirkan prinsip pemeliharaan maslahah dalam setiap dasar yang digubal.

“Prinsip ini menekankan perkara-perkara universal, sesuai untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang mendambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dan penganut pelbagai agama. Ia tidak mengehadkan amalan dan kepercayaan agama lain, tetapi ia menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments