Friday, July 19, 2024
HomeBERITAFelda setuju lupus hutang peneroka Felda Lasah - Perdana Menteri

Felda setuju lupus hutang peneroka Felda Lasah – Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Felda telah bersetuju menghapuskan hutang peneroka Felda Lasah berjumlah RM1.8 juta.

Beliau berkata, hutang berkenaan membabitkan 70 peneroka yang mengalami kerugian akibat serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka.

“Ada 70 peneroka yang kebun terjejas akibat serangan gajah dan berhutang dengan Felda RM1.8 juta. Saya sudah bincang dengan Pengurus Besar dan hari ini, Felda bersetuju menghapus kira hutang sebanyak RM1.8 juta.

“Saya beritahu pengurus jangan setakat uruskan hutang tapi ambil tindakan bagaimana mahu selesaikan serangan gajah pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan sejumlah 100 orang generasi baharu Felda Lasah bakal menerima kediaman bagi projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Ketua Peneroka Felda Lasah, Khairuddin Mohamed berkata, projek yang sekian lama dinantikan oleh generasi baharu itu dijangka siap pada Mac tahun hadapan.

“Kebanyakan generasi baharu ini selain menyewa, mereka juga tinggal bersama generasi pertama iaitu ibu bapa. Keadaan ini agak tidak selesa bagi mereka yang mempunyai keluarga besar.

“Jadi, dengan siapnya projek perumahan ini, dapat memenuhi impian generasi baharu untuk memiliki rumah sendiri sekali gus hidup dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, seramai lima generasi baharu Felda menerima dokumen sebagai simbolik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di sini.

Menurut Khairuddin, pihaknya menerima sebanyak 202 permohonan daripada generasi baharu Felda untuk projek perumahan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hanya 100 permohonan diterima selepas melalui tapisan sebanyak tiga kali oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Projek ini sudah hampir siap, anggaran kerja pembinaan telah mencapai 90 peratus. Kita jangka mereka akan dapat mendiami rumah itu pada Mac tahun hadapan,” katanya.

– THE MALAYA POST

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments