Thursday, May 30, 2024
HomeBERITACubaan Kerajaan Sulu sita aset: Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan asetnya di...

Cubaan Kerajaan Sulu sita aset: Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan asetnya di luar negara

Putrajaya, 30 September – Kerajaan akan melaksanakan tindakan perundangan di Belanda untuk mengenepikan dan menghalang sebarang percubaan oleh kumpulan Sulu untuk menyita aset milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar permohonan untuk mengiktiraf serta menguatkuasa aset-aset berkenaan adalah suatu pencabulan proses mahkamah.

Beliau berkata, percubaan terkini kumpulan Sulu untuk merampas aset didakwa milik Malaysia di Belanda itu adalah tindakan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

“Pendirian kerajaan Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah di Paris pada Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perintah yang diperoleh sekiranya dikuat kuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi serius kepada kestabilan negara lain, dan perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah di samping tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu.

Sebagai contoh, katanya tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada Sepanyol ke Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

Bagaimanapun menurutnya, kumpulan Sulu tetap meneruskan usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara yang mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya.

Sebagai tindakan balas, Wan Junaidi berkata, Malaysia meneruskan prosiding mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepikan dan membatalkan perintah berkaitan, dan yakin prosiding mahkamah itu akan menyebelahi Malaysia.

Wan Junaidi berkata, kerajaan juga telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh kumpulan Sulu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia melaksanakan tindakan perundangan di Luxembourg dan akan mengambil tindakan serupa di Belanda untuk mengenepikan serta menghalang sebarang percubaan oleh kumpulan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah yang dikeluarkan mahkamah.

“Malaysia tidak akan sama sekali bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi.

“Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara” katanya.

Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Pada 11 Julai lalu, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Terdahulu beliau mengulas laporan mengenai tindakan terkini kumpulan Sulu yang mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di mahkamah Belanda terhadap aset Malaysia di sana termasuk rangkaian aset milik Petronas, beliau menjelaskan aset Petronas bukanlah milik kerajaan Malaysia.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments