Monday, May 20, 2024
HomeBERITASemboyan telah dibunyikan, gendang perang sudah dipalu, MT UMNO sepakat PRU15 tahun...

Semboyan telah dibunyikan, gendang perang sudah dipalu, MT UMNO sepakat PRU15 tahun ini

KUALA LUMPUR, 30 September – Tanda tanya bilakah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal diadakan mungkin terjawab malam ini.

Ini kerana mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah sepakat dan sebulat suara memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat.

Ia bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperoleh, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MT di Menara Dato Onn, malam ini.

Jelas Ahmad, mesyuarat malam ini juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Katanya, mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ untuk segera didedahkan kepada umum.
“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Mei lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, mesyuarat MT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pertemuan tersebut.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments