Tuesday, July 23, 2024
HomeBERITABN pandang serius isu pencerobohan China di Laut China Selatan

BN pandang serius isu pencerobohan China di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Isu pencerobohan mana-mana pihak ke kawasan perairan dan sempadan negara adalah sesuatu yang serius.

Justeru kata Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, beliau percaya  BN akan mengambil segala langkah strategik keselamatan untuk mengekang sebarang bentuk pencerobohan yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Katanya, isu Laut Cina Selatan juga berkait dengan kedudukan geo politik kuasa-kuasa besar yang sedang bersaing untuk menguasai jalur perairan yang strategik.

Ia juga termasuk dalam isu perselisihan sempadan atau ‘territorial dispute’ membabitkan Negara China, Malaysia, Filipina, Brunei, dan Vietnam.

“Justeru ia perlukan langkah perundingan antarabangsa bagi mencapai penyelesaian terbaik. Ia juga demi mengelakkan Laut Cina Selatan menjadi satu lagi medan baru pertembungan kuasa-kuasa besar.

“Dalam masa yang sama kita perlu menambahkan kehadiran kita di kawasan sepanjang perairan,” katanya kepada The Malaya Post.

Terdahulu, The Malaya Post telah melaporkan mengenai Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang menyuarakan kebimbangan apabila China kebelakangan aktif menjalani aktiviti ketenteraan dan penguatkuasaan maritim di Laut China Selatan sehingga menganggu aktiviti perikanan serta industri minyak dan gas negara.

Lantas, beliau menggesa pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi perhatian penuh terhadap isu pencabulan kedaulatan negara berkenaan di Laut China Selatan.

Tambah beliau, kerajaan kerajaan dan ATM harus mengambil serius situasi ini dengan memperkukuhkan aspek ketenteraan di sempadan kita khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

“Sudah berkali-kali kita dengar alasan China mengenai tindakan mereka itu untuk ‘menjamin hak, kepentingan dan kedaulatan Negara China’ tetapi bagaimana dengan hak serta kedaulatan Malaysia?”,  katanya dalam satu kenyataan kepada media pada 27 September lalu.

Menurut Rozman, siri pencerobohan berulang kali sejak tahun 2013 itu dapat dilihat menerusi laporan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), membabitkan 23 kes di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan harus menunjukkan bahawa kita peka dan cakna soal keselamatan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan dengan lebih tegas, kita tidak boleh lagi berdiam diri dengan hanya melihat dari jauh segala tindakan pihak lain yang telah mencabul kedaulatan wilayah kita,” tambahnya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments