Bakar kereta polis bantuan kerana nak ‘rating’ tinggi di TikTok

0

Di Petaling Jaya, gara-gara nak dapat ‘rating’ tinggi di akaun TikTok miliknya seorang lelaki disyaki bertindak membakar kereta polis bantuan Prasarana.

Kejadian berlaku berhampiran Stesen MRT Mutiara Damansara, Bandar Utama, pagi semalam.

Suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan ditahan di Flora Damansara, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek ditahan sepasukan anggota polis selepas dikesan memuat naik video berdurasi lima saat kejadian kebakaran itu dalam aplikasi TikTok atas akaun miliknya.

“Suspek ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di kawasan Flora Damansara, berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima.

“Hasil siasatan mendapati, suspek tidak memiliki rekod jenayah lalu, namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin,” katanya.

Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas peralatan berupa tukul besi dan botol air yang disyaki digunakan untuk mengisi petrol untuk digunakan dalam kebakaran itu.

“Pada masa kini kita masih menyiasat motif kejadian ini, termasuk mengambil kira kemungkinan suspek ingin mencari jumlah trafik tinggi untuk akaun Tik Tok miliknya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh mengubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply