Pada 29 Januari lalu, saya menulis sebuah analisis bertajuk “Dinamika Komunikasi Undi 18 dan Cabaran Politik Generasi Z di Malaysia”.
Beberapa pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya telah menghubungi saya melalui email dan Instagram dan meminta kebenaran untuk menjadikan analisis itu sebagai rujukan akademik. Ini bukan kali pertama. Sebelum ini, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), universiti tempat saya sedang menyambung pengajian PhD turut berbuat demikian.
Sudut analisis ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada tesis saya semasa peringkat sarjana. Memandangkan kajian tersebut masih belum diterbitkan secara rasmi, saya berkongsi sebahagian dapatan sebagai wacana awal.
Baiklah.
Bahasa Generasi Z sering disalah tafsir sebagai slanga kosong, trend TikTok sementara atau sekadar gurauan internet. Hakikatnya, bahasa Gen Z ialah cerminan cara mereka berfikir, menilai dan membuat keputusan. Ia ringkas, pantas dan kadang-kadang kelihatan santai namun di situlah letaknya ketajaman.
Dalam dunia Gen Z, satu perkataan sudah cukup untuk membawa emosi, sindiran dan pendirian. Justeru, kegagalan memahami bahasa mereka bukan sekadar isu linguistik, tetapi kegagalan komunikasi.
Mesej tidak sampai bukan kerana Gen Z tidak peduli, tetapi kerana ia disampaikan dalam bahasa yang tidak mereka percayai.
Bahasa sebagai isyarat kejujuran
Bagi Gen Z, bahasa bukan soal ayat berbunga atau tatabahasa yang terlalu sempurna. Ia soal vibe.
Ayat yang terlalu formal, panjang dan sarat dengan jargon mudah dianggap cap, tidak jujur atau dibuat-buat. Sebaliknya, ayat yang ringkas, terus kepada isu dan selari dengan tindakan dianggap no cap.
Perbandingan mudah:
“Kami komited memastikan kesejahteraan rakyat…” → mid
“Ini masalah sebenar, dan ini apa yang kami buat” → based
Gen Z tidak mencari siapa yang paling petah bercakap. Mereka mencari siapa yang bercakap benar.
Slanga bukan hiasan, tetapi alat menilai
Perkataan seperti sus, based, mid atau cringe bukan sekadar trend TikTok. Ia ialah alat penilaian pantas terhadap individu, idea dan situasi.
Sus → Ada sesuatu yang tidak kena
Based → Berani, jelas pendirian
Mid → Biasa, tidak meyakinkan
Cringe → Cuba terlalu keras, tidak autentik
Di sinilah ramai orang dewasa tersilap langkah. Apabila slanga digunakan secara paksa atau di luar konteks, ia serta-merta menjadi cringe. Bukan kerana perkataan itu salah, tetapi kerana niatnya kelihatan palsu.
Dalam dunia Gen Z, kepura-puraan mudah dikesan dan sukar dimaafkan.
Emoji, meme dan diam juga satu bahasa
Komunikasi Gen Z tidak terhad kepada ayat.
Emoji, meme, reaksi malah diam membawa makna.
💀 boleh bermaksud “terlalu kelakar”
👀 bermaksud “kami perhatikan”
👍 boleh menjadi sokongan… atau sindiran
Tidak membalas mesej juga boleh menjadi satu pendirian. Sekadar reaksi emoji sudah cukup sebagai kenyataan.
Bahasa Gen Z bersifat multi-lapis, pantas, visual dan sangat bergantung kepada konteks.
Kenapa ramai gagal berhubung dengan Gen Z
Masalahnya bukan kerana Gen Z sukar difahami.
Masalahnya, ramai masih menggunakan bahasa lama untuk audiens baharu.
Gen Z:
• Tidak gemar ayat berbunga tanpa isi
• Tidak sabar dengan pusing cerita • Tidak responsif kepada arahan sehala
• Mereka lebih terbuka kepada perbualan, bukan khutbah.
• Lebih menghargai dialog, bukan monolog.
Bahasa yang Diterima Gen Z
Bahasa yang Gen Z dengar bukanlah bahasa muda-mudi yang ditiru secara kasar. Ia ialah bahasa yang:
• Jujur
• Ringkas
• Relatable
• Konsisten dengan tindakan
• Tidak berlakon
• Tidak perlu menjadi “budak muda”.
• Cukup menjadi manusia yang bercakap dengan manusia.
Yang pasti bahasa Gen Z bukan tentang mengejar trend. Ia tentang kejujuran dalam bentuk paling ringkas. Jika mesej kita jelas, ikhlas dan tidak dibuat-buat, Gen Z akan mendengar. Jika tidak, mereka tidak akan melawan, tidak akan membantah. Mereka hanya akan scroll.
Dan dalam dunia digital hari ini, scroll jauh lebih kuat daripada bantahan terbuka. Jika kita gagal menyesuaikan bahasa, jangan salahkan audiens apabila mesej kita tidak lagi relevan.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

Leave a Reply