Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAASEAN teguh hadapi cabaran serantau, Timor-Leste hampiri keanggotaan penuh

ASEAN teguh hadapi cabaran serantau, Timor-Leste hampiri keanggotaan penuh

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung hari ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menyaksikan penegasan komitmen bersama negara anggota terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.

Dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, mesyuarat tersebut turut disertai oleh Timor-Leste sebagai sebahagian daripada proses ke arah keanggotaan penuhnya dalam ASEAN.

Perbincangan antara menteri-menteri luar menumpukan kepada usaha memperkukuh autonomi strategik ASEAN, memacu kemajuan Visi Komuniti ASEAN 2045 serta memperkasa peranan serantau dalam hal ehwal global secara proaktif dan konstruktif.

Isu Myanmar dan Pelaksanaan 5PC

Dalam perbincangan berhubung situasi di Myanmar, Menteri Luar mencadangkan peluasan gencatan senjata melebihi zon-zon yang kini terjejas sebagai langkah ke arah pemberhentian keganasan menyeluruh. Cadangan tersebut dilihat selari dengan usaha melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) secara berkesan, termasuk keperluan menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk penghantaran bantuan kemanusiaan serta pemulihan komuniti.

Kemajuan Timor-Leste dalam Proses Keanggotaan

Mesyuarat turut meluluskan Garis Panduan untuk Memudahkan Penyertaan Timor-Leste dalam Instrumen dan Perjanjian Undang-Undang ASEAN, menandakan satu lagi langkah penting ke arah keanggotaan penuh negara itu. Langkah ini membuktikan kesungguhan ASEAN untuk memperkukuh keterangkuman politik dalam kalangan negara anggota.

SEANWFZ Diperkukuh Melalui Draf Tambahan

Dalam perkembangan berkaitan keselamatan serantau, mesyuarat turut mempertimbangkan dan meluluskan draf Tambahan kepada Perjanjian Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). Draf tersebut telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Eksekutif SEANWFZ pada 29 April 2025.

Tambahan itu menyediakan asas perundangan penting bagi membolehkan negara anggota ASEAN dan Timor-Leste melaksanakan prosedur domestik berkaitan penyertaan, sekali gus memperkukuh integrasi Timor-Leste dalam kerangka politik dan keselamatan serantau.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments