Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAMalaysia tekankan kerjasama ASEAN atasi ancaman siber, keselamatan

Malaysia tekankan kerjasama ASEAN atasi ancaman siber, keselamatan

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2025 – Malaysia hari ini menekankan keperluan memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan yang kian kompleks, termasuk jenayah siber, pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di rantau ini.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29, yang berlangsung di ibu negara sempena persiapan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Dalam mesyuarat yang dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Timor-Leste itu, para pemimpin menilai perkembangan semasa dalam badan-badan sektoral di bawah tonggak APSC, termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan APSC 2025 yang kini telah mencapai kadar pencapaian 99.6 peratus.

Dato’ Seri Mohamad menyatakan bahawa pencapaian itu merupakan bukti komitmen berterusan ASEAN dalam memperkukuh kerjasama politik dan keselamatan serantau. Beliau turut menekankan keperluan untuk membuat Kajian Akhir Penggal terhadap pelan tersebut, bagi merangka hala tuju masa hadapan menerusi Pelan Strategik APSC 2045 yang akan diterimapakai oleh para pemimpin ASEAN.

“Kita kini berada di satu titik genting dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, persaingan kuasa besar dan ancaman rentas sempadan yang semakin mencabar. Di rantau ini sendiri, jenayah siber seperti penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia semakin membimbangkan,” ujarnya.

 Menurut beliau, ribuan warga ASEAN telah menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang memperdaya mereka bekerja di pusat-pusat penipuan. Mangsa kehilangan kebebasan, maruah dan simpanan mereka, manakala negara-negara anggota turut mengalami kesan ekonomi yang ketara.

“Jenayah siber ini bukan sahaja menggugat keselamatan rakyat, malah menjejaskan kestabilan ekonomi serantau. Justeru, ASEAN mesti memperkukuh kerjasama dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, perkongsian maklumat dan penyelarasan dasar bagi mengekang ancaman ini secara menyeluruh,” tegas beliau.

Dato’ Seri Mohamad turut menekankan bahawa kemajuan teknologi digital memerlukan ASEAN bukan sahaja mempertahankan keselamatan ekosistem siber, tetapi juga memperkukuh daya tahan digital rantau ini.

Beliau berkata Pelan Strategik APSC 2045 yang akan datang perlu menjadi panduan utama dalam memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang aman, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat dalam menghadapi cabaran akan datang.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mengenal pasti beberapa bidang keutamaan seperti pembinaan kepercayaan strategik, kerjasama menangani jenayah rentas negara, pengukuhan pertahanan serantau dan penyelarasan undang-undang bagi memantapkan perpaduan dan kesiapsiagaan ASEAN dalam era baharu.

“ASEAN perlu terus kekal utuh, responsif dan berpandangan jauh demi kesejahteraan rakyat dan keamanan serantau,” katanya mengakhiri ucapan.

Mesyuarat APSC merupakan platform penting yang menggariskan peranan ASEAN dalam menjamin kestabilan politik dan keselamatan serantau, serta memperkukuh kerangka strategik menjelang pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments