Thursday, May 30, 2024
HomeBERITA6 tip sebelum lakukan aktiviti di laut pada musim tengkujuh

6 tip sebelum lakukan aktiviti di laut pada musim tengkujuh

PUTRAJAYA, 11 Oktober – Masyarakat terutamanya komuniti maritim disarankan menjaga keselamatan ketika berada atau melakukan aktiviti di laut terutamanya pada musim tengkujuh.

Persediaan rapi adalah perlu bagi menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang kemungkinan terutamanya insiden kecemasan di laut seperti lemas kecederaan atau hilang di laut.

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun berkata, berdasarkan statistik bermula 2020 hingga 2022, insiden kecemasan di laut yang telah direkodkan oleh Maritim Malaysia adalah sebanyak 772 insiden dan majoriti insiden adalah melibatkan komuniti nelayan.

Beliau turut berkata, Maritim Malaysia sentiasa menasihatkan kepada mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut khususnya komuniti maritim agar memberikan perhatian serius mengenai perkara ini.

Melihat perkara ini seringkali diambil mudah dan ada yang tidak mengetahui persiapan yang perlu dilakukan, Maritim Malaysia ingin memberikan beberapa tips keselamatan bagi mengelak sebarang kecelakaan yang tidak diingini berlaku ketika berada di laut.

Tips pertama, sebelum keluar ke laut, pastikan anda memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga atau rakan terdekat. Ini kerana sering kali Maritim Malaysia menerima aduan insiden apabila anggota keluarga tidak mengetahui destinasi mangsa. Keadaan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat pencarian.

Tips kedua, sentiasa semak ramalan kaji cuaca melalui laman web rasmi Jabatan Metereologi Malaysia atau applikasi MY cuaca.

Tips ketiga, Bawa Personal Locator Beacon atau (PLB). Peralatan ini amat penting sekiranya berada dalam kecemasan ketika di laut. Peralatan ini menggunakan isyarat satelit dan pihak berkuasa dapat mengetahui kedudukan mangsa dengan tepat dengan hanya menekan satu butang.

Tips keempat, sentiasa pakai jaket keselamatan. Jaket keselamatan dapat meningkatkan keberangkalian untuk berapung lebih lama dan memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan mangsa kerana warna jaket keselamatan yang mudah dilihat.

Tips kelima, pastikan bot dalam keadaan selamat, peralatan navigasi dan komunikasi dalam keadaan baik dan pastikan kapasiti minyak mencukupi. Antara insiden yang sering dilaporkan adalah bot rosak atau bot kehabisan minyak.

Tips keenam, sekiranya ingin ke laut, pergi secara berkumpulan. Ini kerana jika terdapat sebarang masalah, ahli kumpulan akan dapat membantu sesama sendiri.

Dan tips terakhir, pastikan membawa kit peralatan kecemasan dan bekalan ubat. Ia amat penting sekiranya anda mengalami kecederaan di laut dan dapat mengurangkan kesakitan sementara dalam perjalanan menuju ke darat.

Melalui tips yang diberikan, sedikit sebanyak ia akan dapat mengurangkan risiko kepada mereka yang melakukan aktiviti di laut seterusnya menyumbang kepada penurunan insiden kecemasan di laut.

Walau bagaiamanapun pihak agensi menasihati kepada orang ramai khususnya komuniti maritim untuk menangguh terlebih dahulu daripada melakukan sebarang aktiviti di laut ketika musim tengkujuh.

Keselamatan diri anda bermula dari diri sendiri. Jangan biarkan lautan meragut nyawa anda.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments