Friday, July 26, 2024
HomeBERITAPerolehan harga rundingan RTM bagi penerbitan program tempatan dan luar sudah tidak...

Perolehan harga rundingan RTM bagi penerbitan program tempatan dan luar sudah tidak relevan – PFM

11 Oktober 2023 – Perolehan harga rundingan yang ditawarkan oleh RTM bagi penerbitan program-program tempatan dan luar negara atau “syndicated program” sudah tidak relevan buat masa kini.

Menurut Presiden, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha setakat ini pihaknya telah menerima banyak aduan dari syarikat pengedar tempatan bagi program luar negara (Syndicated Program) yang melalui proses perolehan rundingan harga di RTM baru-baru ini.

“Kebanyakan aduan yang diterima menzahirkan rasa amat kecewa dengan perolehan rundingan harga RTM yang dikatakan sudah tidak relevan buat masa ini.

“Tidak cukup dengan surat pengesahan dari pengedar asing yang telah memberi kebenaran kepada pengedar tempatan sebagai bukti. RTM mengenakan syarat wajib menuntut butiran syarikat pengedar asing sebelum sesi rundingan harga boleh dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada The Malaya Post.

Ujar Pansha, apa yang lebih mengecewakan campur tangan RTM selaku penyiar Kerajaan menghubungi terus syarikat pengedar asing dan ia mengeruhkan lagi keadaan.

Ini kerana katanya ia memberi ruang kepada pengedar asing tidak mahu menurunkan harga tawaran kepada pengedar tempatan.

Dalam masa yang sama katanya panel rundingan harga RTM menindas syarikat pengedar tempatan melalui sesi rundingan harga untuk menurunkan harga secara “Paksa Rela yang tiada pilihan” sekiranya tidak mahu hilang peluang melesenkan kandungan yang ditawarkan kepada RTM.

“Keadaan bertambah lebih keroh lagi apabila sesi rundingan harga gagal dipersetujui oleh panel rundingan harga RTM dan pengedar tempatan tiada pilihan menandatangi persetujuan untuk tidak meneruskan rundingan seakan tidak perihatin untuk mengurangkan harga. Secara amnya menjejaskan hubungan baik perniagaan di antara syarikat pengedar tempatan dengan syarikat pengedar asing yang telah dihubungi oleh RTM.

“Setelah meneliti, mengkaji dan membuat perbandingan isu yang telah berlaku melalui aduan yang telah dibuat oleh syarikat pengedar tempatan kepada PFM.

Katanya penambahbaikan rundingan harga RTM wajar dilakukan secara telus melalui tawaran rasmi pengurangan harga oleh RTM seperti dilaksanakan oleh penyiar yang lain dan bukannya mengikut suka hati atau perasaan panel rundingan yang menurunkan harga tanpa asas dalam pengurangan harga tawaran semasa sesi rundingan harga di buat.

“Gaya mengugut syarikat pengedar tempatan semasa rundingan adalah tidak wajar sama sekali.
Alasan yang digunakan untuk membatalkan runding harga sangat remeh dan menjejaskan keupayaan RTM sendiri untuk memperolehi kandungan luar negara yang baik. Mengapa perlu memanggil syarikat pengedar tempatan untuk runding harga, hanya untuk membatalkannya atas sebab teknikal, sebelum rundingan harga bermula.

“Sebelum ini juga telah berlaku pembatalan melesenkan kandungan yang melibatkan beberapa syarikat pengedar tempatan, walaupun telah mencapai persetujuan dalam sesi rundingan harga. Ini bermaksud rundingan harga yang telah dipersetujui oleh RTM, belum tentu perolehan akan berjaya. Sedangkan pengedar tempatan telah membeli kandungan program luar negara dan hanya merugikan sebelah pihak sahaja,” katanya.

Tambah beliau kebergantungan RTM kepada portal iMDB adalah satu kesilapan nyata kerana maklumat di internet boleh menjadi salah dan tidak tepat.

“Mengapa menilai tajuk berdasarkan Wikipedia atau iMDB sedangkan pengeluar atau pengedar asing telahpun mengesahkan fakta dalam tawaran. Mengapa menimbulkan keraguan sehingga mengelirukan semua pihak yang terlibat.

“Sehubungan dengan perkara di atas, berkaitan kontrak perjanjian RTM bagi kandungan luar negara (syndicated program) tidak sehaluan seperti mana yang ditawarkan semasa rundingan harga dibuat, merujuk kepada surat kebenaran siaran dari syarikat pengedar asing (principal) yang hanya memberi kebenaran/melesenkan untuk siaran platform Digital Terrestrial Free TV percuma dalam negara dan tidak termasuk platform yang menggunakan internet seperti Internet TV, Website dan OTT yang boleh dicapai oleh penonton dari luar negara secara percuma.

“Secara langsung ianya menggagalkan penjanjian wilayah siaran (territory) dengan negara-negara lain, merujuk kepada kontrak penjanjian RTM (syndicated program) yang baru,” katanya.

Justeru ujarnya lagi, perkara itu perlu dikaji semula bagi menghormati perjanjian siaran (right territory) yang telah dipersetujui oleh pengedar asing kepada pengedar tempatan dan pengedar tempatan melesenkan kepada RTM melalui perjanjian yang seimbang dengan kebenaran siaran.

“Semoga RTM dapat membuat penambahbaikkan pada kontrak perjanjian RTM bagi kandungan luar negara (syndicated program) pada masa akan datang dan semua perkara ini dapat diselesaikan dengan sempurna.

“PFM memohon keperihatinan YB Fahmi Fadzil selaku Menteri Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dalam isu ini dan PFM sebagai pemegang taruh industri bersedia untuk berbincang atau bertukar pandangan serta pendapat bagi mengatasi isu ini. Demi menjaga kepentingan penjimatan duit rakyat yang digunakan.

“Kami amat yakin dengan usaha-usaha bersepadu ini, akan dapat memberi kesan positif jangka-panjang bagi memulihkan semula ekonomi industri dengan jayanya,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments