Tuesday, June 11, 2024
HomeBERITAAlumni GPMS Kebangsaan sokong wujud PLKN 3.0, guna kaedah berbeza bukan "summer...

Alumni GPMS Kebangsaan sokong wujud PLKN 3.0, guna kaedah berbeza bukan “summer camp”

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Alumni GPMS Kebangsaan menyambut baik cadangan Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan semula PLKN 3.0.

Menurut Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Dato’ Syed Anuar Syed Mohamad kepada The Malaya Post, pelaksanaan semula PLKN 3.0 adalah satu kemestian bagi membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi baru.

Pun begitu katanya pelaksanaannya kelak wajar melalui kaedah atau “template” baharu yang menitikberatkan latihan ketenteraan dan disiplin secara khidmat negara dan bukan kerahan tenaga sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah negara seperti Singapura dan Korea Selatan.

“ALUMNI GPMS KEBANGSAAN amat bersetuju sekiranya dengan perbelanjaan yang tidak besar tetapi membawa pulangan lebih baik contohnya dari segi modal insan maka ianya wajar disokong.

“Difahamkan kerajaan telah memutuskan PLKN 3.0 akan diteruskan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2021 yang meluluskan untuk kajian cara baharu pelaksanaan PLKN ini

“Walaupun begitu ianya juga bukan bersifat santai seperti latihan musim panas atau “summer camp” serta tiada kesinambungan, katanya kepada The Malaya Post.

Tambahnya Alumni GPMS Kebangsaan berpandangan positif sekiranya program PLKN 3.0 yang bakal diadakan secara berfasa untuk pelajar lepasan sekolah, diteruskan dan ia perlulah ada kesinambungan selepas itu seperti pada peringkat lebih tinggi meliputi di peringkat matrikulasi ataupun di peringkat pengajian tinggi awam mahupun swasta.

“Bagi latihan PLKN 3.0 yang bakal diadakan di 13 buah kem tentera Wataniah selama 45 hari yang mana boleh menampung sehingga 20 ribu peserta, pihak ALUMNI GPMS KEBANGSAAN amat bersetuju kerana selain dapat memanfaatkan kem-kem latihan dan sumber manusia sedia ada, ianya dapat menjimatkan kos kepada RM 100 juta berbanding RM 500 juta setahun yang telah dibelanjakan semasa PLKN 1.0 dahulu,” katanya.

Berhubung dengan saranan agar latihan berasaskan kewarganegaraan serta disiplin, jelasnya ia sesuatu yang perlu memandangkan nilai-nilai kenegaraan dan patriotisme di kalangan belia khususnya pada hari ini perlu dipertingkatkan.

Ia bagi menjadikan mereka sebagai warganegara Malaysia yang faham dan menghormati Perlembagaan Malaysia khususnya dan Rukun Negara khasnya.

Terdahulu beliau hadir bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Persatuan ALUMNI GPMS KEBANGSAAN di ibu negara.

Katanya, GPMS Kebangsaan juga telah mengusulkan serta menyarankan agar pihak kerajaan mempertimbangkan agar agensi seperti Biro Tatanegara(BTN) atau BTN 2.0 dikembalikan dan dijenamakan semula.

Ujarnya BTN yang telah diwujudkan pada tahun 1982 perlu dikembalikan dan dijenamakan semula kerana ia menjuruskan kepada pelaksanaan program-program berunsurkan kecintaan dan patriotisme kepada generasi pewaris, warganegara Malaysia.

“Barisan Majlis Kerja Tertinggi Persatuan ALUMNI GPMS KEBANGSAAN Sesi 2023-2026 dan para Perwakilan seluruh negara yang hadir menyokong penuh usul dan saranan ini agar BTN 2.0 dikembalikan dengan jenama baharu mengikut kerangka Malaysia Madani kerana mempunyai impak kepada pembangunan sosial serta kenegaraan.

“Ketika mana PLKN 3.0 memfokuskan kepada golongan remaja dan belia, BTN 2.0 perlu diperluaskan di kalangan semua lapisan masyarakat bangsa Malaysia termasuk kakitangan kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan ia selaras dengan kehendak dan aspirasi negara,” katanya.

Terdahulu, di Parlimen Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata keputusan memperkenal semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sebelum ini dimansuh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya akan diketahui pada pertengahan tahun 2024.

Katanya rancangan menghidupkan semula PLKN 3.0 masih di peringkat jawatankuasa dan kementerian belum membentangnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kabinet.

Tambahnya jika ia dilaksanakan kelak PLKN 3.0  bakal melalui modul berbeza berbanding sebelum ini.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments