19 tahun laksana tanggungjawab jaga keselamatan perairan negara 

0

KUANTAN, 15 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sejak ia ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah berkata, dengan adanya Maritim Malaysia, empat sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

Katanya lagi, melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Maritim Malaysia mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi selain menyelenggara aset-aset sedia ada agar Agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) Maritim Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN Dr. Gafar Abu Bakar serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut tentang aset baharu Maritim Malaysia, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar memaklumkan selepas Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang telah diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2 Januari lalu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk Agensi ini mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Selain pertambahan aset, Maritim Malaysia turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

Ini bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini agar semua pasukan keselamatan negara termasuk Maritim Malaysia dapat berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan bilion ringgit.

Untuk rekod pada tahun 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pihak Agensi ini di kawasan perairan negara. Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira RM101.9 Juta.

Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), Maritim Malaysia telah melaksanakan sebanyak 237 operasi melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama. Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini.

Bersempena HUT19, tema “Maritim Perkasa Melestarikan Madani” telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan Agensi ini dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan Negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Kemeriahan sambutan pada tahun ini telah diserikan dengan Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid, Program Bacaan Yassin dan Doa Selamat serta Penyampaian Anugerah Khas Maritim Malaysia (AKMM) dan penyampaian Reben Penghargaan Khas Ketua Pengarah (RKP) kepada tiga warganya yang telah terpilih.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply