Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAZambry Kadir iringi lawatan Perdana Menteri Singapura ke Malaysia

Zambry Kadir iringi lawatan Perdana Menteri Singapura ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, menyambut ketibaan Perdana Menteri Singapura, TYT Lawrence Wong bersama isteri, PYT Loo Tze Lui, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Lawatan rasmi selama dua hari itu diadakan sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 yang dijadualkan berlangsung esok di Putrajaya.

Zambry Kadir bertindak sebagai Menteri Pengiring bagi delegasi Singapura, satu tugas penting yang menzahirkan peranan beliau dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara dua negara serantau ini.

Lawatan TYT Lawrence Wong ini adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura ke-4 pada 15 Mei tahun lalu.

Acara rasmi esok akan dimulakan dengan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti Mesyuarat Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 (ALR) bersama Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan isu-isu utama yang merangkumi kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, keselamatan serantau, serta inisiatif rentas sempadan yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Zambry Kadir menyifatkan pemukiman ini sebagai peluang strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin selama enam dekad.

“Malaysia dan Singapura bukan sekadar jiran, tetapi rakan strategik yang saling melengkapi dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, teknologi, dan pendidikan. Pemukiman kali ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk terus membina masa depan bersama,” ujar beliau.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan, Zambry Kadir akan turut mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawatan dari Singapura, TYT Chan Chun Sing, yang kini memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan.

Fokus utama perbincangan adalah kerjasama dalam pendidikan tinggi, termasuk peluang penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta pembangunan modal insan serantau.

Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 ini diadakan dalam suasana istimewa sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Zambry menegaskan bahawa ulang tahun ini adalah detik bersejarah yang melambangkan hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama.

“Selama enam dekad, kita telah membina hubungan erat berasaskan kepercayaan dan saling menghormati. Kini, kita terus melangkah ke hadapan dengan kerjasama yang lebih erat dan dinamik,” tambah beliau.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments