Kuala Lumpur, 31 Mei 2025 — Wanita UMNO Malaysia hari ini meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap tindakan YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan secara terbuka keputusannya untuk keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hjh Rosni Zahari, menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah dianggap sebagai satu tindakan yang mencabuli etika politik dan kesetiaan kepada parti.
Dalam satu kenyataan media yang tegas, beliau menyatakan bahawa Tengku Zafrul WAJIB meletakkan jawatan sebagai Menteri dengan serta-merta, kerana jawatan tersebut adalah milik UMNO dan diperuntukkan kepada parti melalui kuota dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jawatan itu bukan hak individu. Ia diberikan kepada UMNO sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan. Justeru, apabila seseorang pemimpin membuat keputusan untuk meninggalkan parti, beliau tidak lagi berhak memegang jawatan tersebut,” kata Rosni.
Menurut beliau lagi, penerimaan mana-mana pemimpin UMNO oleh parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan tanpa rundingan bersama adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat permuafakatan yang menjadi asas penubuhan kerajaan tersebut. Tindakan seperti ini, katanya, hanya akan mengundang ketegangan dan menggugat kestabilan politik negara.
“UMNO bukan wadah yang boleh digunakan untuk kepentingan peribadi. Kesetiaan kepada parti adalah asas utama perjuangan. Tindakan lompat parti sambil terus memegang jawatan yang diberikan kepada UMNO adalah tidak bermaruah, tidak beretika dan tidak boleh diterima sama sekali,” tambah beliau lagi.
Kenyataan tegas ini mencerminkan pendirian Wanita UMNO dalam mempertahankan integriti dan prinsip perjuangan parti. Ia juga menjadi isyarat jelas bahawa sebarang cubaan untuk mempermainkan struktur kuasa dan kepercayaan politik dalam Kerajaan Perpaduan akan ditentang habis-habisan.
Langkah Tengku Zafrul dijangka mencetuskan gelombang perbincangan hangat dalam kalangan akar umbi UMNO dan pemimpin kerajaan. Persoalan utama kini ialah sama ada beliau akan akur dengan desakan untuk berundur, atau terus mempertahankan jawatan meskipun tanpa keahlian dalam parti yang memberikannya kedudukan tersebut.—THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply