KLUANG, 31 Mei 2025 – Perletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada semua jawatan dalam UMNO, termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), serta pengumuman terbukanya untuk menyertai PKR, membuka satu lembaran politik yang sarat dengan pengajaran buat seluruh pimpinan dan ahli UMNO.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday, langkah Zafrul tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya dipercayai telah dirancang lebih awal dengan naratif politik yang tersusun rapi.
“Tidak mustahil wujud ‘sutradara’ di sebalik keputusan ini. Tetapi apa yang pasti, beliau kini bukan lagi bersama UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UMNO tidak perlu meratapi pemergian tersebut, sebaliknya harus menjadikan ia sebagai satu iktibar untuk memperkukuhkan semula kekuatan parti.
Zafrul, tokoh korporat dan bekas CEO CIMB Group, dilantik sebagai Menteri Kewangan sewaktu pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional pada 2020.
Menurut Datuk Jais, pelantikan itu dibuat atas kapasiti kuota UMNO, namun ketika itu tidak dibincangkan secara terperinci dengan Presiden parti, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang telah diketepikan menerusi Langkah Sheraton.
UMNO sebelum ini juga pernah melibatkan beberapa tokoh teknokrat sebagai anggota pentadbiran kerajaan seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Idris Jala dan Tan Sri Abdul Wahid Omar. Namun berbeza dengan Zafrul, mereka tidak mencampuri urusan parti dan lebih menumpukan kepada peranan masing-masing dalam kerajaan.
“Tengku Zafrul pula terus mendaki hierarki parti dan diberi jawatan penting tanpa melalui proses biasa yang dilalui oleh ahli lain. Maka apabila beliau keluar parti, wajar kita persoalkan sejauh mana komitmen beliau terhadap perjuangan UMNO sejak awal,” tambahnya.
Menurut Datuk Jais, terdapat dua pengajaran utama daripada episod ini iaitu elak keterujaan melantik tokoh luar tanpa proses parti.
Katanya mereka mungkin hebat secara teknikal, tetapi belum tentu memahami semangat perjuangan UMNO.
Selain itu katanya beri ruang kepada tokoh profesional dalaman.
Mereka yang telah lama berjuang dalam parti, meskipun tidak popular, wajar diberi peluang kerana kesetiaan dan kefahaman mereka terhadap asas perjuangan lebih teruji.
“UMNO bukan sebuah entiti korporat yang dinilai melalui KPI semata-mata. Ia adalah parti perjuangan yang lahir daripada semangat nasionalisme untuk mempertahankan Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara,” tegas beliau.
Beliau turut menegaskan, sekiranya UMNO ingin membawa masuk tokoh profesional dari luar, mereka mestilah terlebih dahulu menepati nilai, semangat serta disiplin perjuangan parti bukan sekadar bersandarkan reputasi korporat.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply