Sejarah bukan sekadar catatan masa lalu, ia adalah cermin yang membentuk identiti, jati diri, dan hala tuju bangsa. Persoalan kritikal kembali timbul apabila kita menyingkap frasa terkenal, “History is written by the victors” bahawa sejarah sering ditulis oleh pihak yang menang, namun tidak semestinya menzahirkan kebenaran yang menyeluruh.
Dalam konteks Malaysia, persoalan ini menimbulkan keraguan, adakah naratif sejarah yang kita warisi hari ini benar-benar objektif, atau masih dibayangi oleh perspektif Barat khususnya dalam jurnal akademik, bahan rujukan, dan pengajaran di sekolah serta universiti?
Itulah persoalan yang saya ajukan kepada Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), seusai beliau menjadi panelis dalam Better Nation Forum ke-7: Kemerdekaan dan Cabaran Kolonialisme Baru di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Jawapannya jelas dan tegas, Malaysia perlu segera menubuhkan sebuah badan bebas, Suruhanjaya Sejarah Malaysia, yang berperanan memastikan naratif sejarah negara ditulis dengan tepat, bersandar kepada arus kewatanan perjalanan masa lalu, serta terpelihara untuk generasi masa depan.
Menurut Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad, sejarah Malaysia mestilah berasaskan konsep kewatanan Melayu sebagai tunjang naratif, kerana orang Melayu merupakan “definitive people” di tanah ini.
Prinsip ini tidak menolak kewujudan kaum bumiputera lain dan kepelbagaian budaya serta etnisiti, tetapi menegaskan bahawa jati diri negara tidak boleh dipisahkan daripada kedudukan Melayu dan agama Islam sebagai agama dominan di Malaysia dan Kepulauan Melayu.
“Cadangan saya adalah untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Sejarah Malaysia yang bebas. Fungsinya ialah sebagai mekanisme timbang tara terhadap isu, pertelingkahan, dan polemik sejarah negara. Hal ini amat penting dalam suasana cabaran semasa dengan kemunculan pelbagai perspektif daripada pelbagai pihak berasaskan etnisiti dan geografi,” ujar beliau.
Cadangan ini bukan sekadar akademik, tetapi lahir daripada kegelisahan terhadap arah tuju naratif sejarah negara. Tanpa mekanisme bebas, kata beliau, wacana sejarah berisiko dimonopoli oleh suara tertentu, lalu menafikan kepelbagaian pengalaman rakyat Malaysia.
Sebagai tambahan, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad yang juga Felo Kanan Southeast Asia Research Centre and Hub di De La Salle University, Manila menekankan perlunya pendidikan sejarah yang lebih kritikal.
Beliau menyarankan agar komponen kolonialisme, orientalisme, dan eurosentrisme dimasukkan dalam kurikulum sekolah dan universiti.
“Wujudkan subjek Kolonialisme di fakulti sains sosial dan kemanusiaan, atau di jabatan seperti sosiologi, antropologi, komunikasi dan media, bahasa dan kesusasteraan. Pelajar mesti didedahkan dengan sejarah, anatomi, dan implikasi kolonialisme sebagai fungsi kuasa, penaklukan, dan penindasan supaya mereka lebih peka terhadap gejala kolonialisme baru,” tegasnya.
Cadangan ini menekankan satu hakikat iaitu memahami kolonialisme bukan sekadar mengenang sejarah lampau, tetapi sebagai alat kritis menilai hubungan kuasa dan ideologi hari ini.

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad turut mengingatkan bahawa Malaysia harus belajar daripada pengalaman Jepun, China, dan Iran, negara yang berjaya menstrukturkan naratif sejarah mereka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan.
“Malaysia mesti belajar daripada Jepun, China, dan Iran dalam menangani kolonialisme dari sudut diplomasi, konsep, dan strategi mereka sebagai negara bangsa serta sejarah negara-negara tersebut,” katanya.
Namun, dalam dunia pascakolonial, Barat masih berusaha mengaburkan jenayah penjajahan mereka.
“Barat kini sedang melenyapkan kejahatan mereka dalam melakukan jenayah kolonialisme dan penjajahan. Jika kita tidak ajar mengenai kolonialisme sebagai ideologi dan hegemoni, sebagai anatomi kuasa penaklukan, kita tidak akan mengenali penjajahan. Dengan itu, akan jauhlah kita daripada jiwa dan budi kita,” tegas beliau lagi.
Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad juga mencadangkan penambahbaikan kepada struktur sedia ada yang dilihat masih terikat di bawah kerajaan, lalu membataskan kebebasan akademik.
“Satu Suruhanjaya Sejarah Malaysia wajar diasaskan sebagai badan bebas. Bukan di bawah kerajaan atau Arkib Negara Malaysia seperti Majlis Sejarawan Malaysia yang baru ditubuhkan.
Suruhanjaya itu mesti dipimpin oleh ahli sejarah dan sarjana, serta diwujudkan melalui proses perundangan agar berfungsi sebagai Akta dengan komposisi dan mekanisme jelas,” jelasnya.
Beliau menekankan, bebas di sini bermaksud “institutionally independent”, setaraf dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Akhirnya, mesej Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad membawa kita kepada inti persoalan, sejarah bukan semata-mata rakaman peristiwa, tetapi arena perjuangan naratif. Tanpa institusi bebas yang mengawal dan meluruskan naratif berasaskan kewatanan Melayu, Islam sebagai agama dominan, serta kepelbagaian budaya Malaysia, generasi kita berdepan risiko kehilangan jati diri, kerana sejarah mereka ditentukan oleh lensa asing.
Sebagai Ketua Pengarang The Malaya Post, saya melihat cadangan ini bukan retorik, tetapi keperluan strategik. Suruhanjaya Sejarah Malaysia bukan pilihan; ia mendesak untuk masa depan intelektual, budaya, dan kedaulatan negara.

Program Better Nation (BN) Forum ke-7: Kemerdekaan Dan Cabaran Kolonialisme Baru, di Menara Dato’ Onn, malam tadi turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir bertindak sebagai moderator.

Barisan panel terdiri daripada Prof. Datuk Dr. Danny Wong Tze Ken (Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya), Dr. Ahmad El-Muhammady (Felo Kanan ISTAC-IIUM), Prof. Dr. Sarjit Singh Darshan Singh (Profesor Sosiologi UPM), dan Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin (Pensyarah Kanan UiTM). — THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply