PETALING JAYA, 16 Ogos – Media sosial kini bukan lagi sekadar ruang untuk berkongsi maklumat, sebaliknya berperanan besar dalam membentuk cara masyarakat berfikir melalui kawalan algoritma yang terselindung.
Menurut jurnal bertajuk “I Always Assumed That I Wasn’t Really That Close to [Her]: Reasoning About Invisible Algorithms in News Feeds” (2015), kajian mendapati 62.5 peratus pengguna Facebook tidak sedar kandungan paparan mereka ditentukan algoritma, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pengaruh tidak sedar terhadap cara mereka menerima maklumat.
Dalam jurnal lain berjudul “Exposure to Ideologically Diverse News and Opinion on Facebook” (2015), penyelidik melaporkan algoritma Facebook turut mengurangkan pendedahan silang ideologi sekitar lapan peratus bagi pandangan liberal dan lima peratus bagi konservatif meskipun pilihan pengguna masih memainkan peranan penting.
Laporan Digital News Report 2024 yang diterbitkan oleh Reuters Institute for the Study of Journalism pula menunjukkan situasi di Malaysia semakin bergantung kepada media sosial sebagai sumber berita utama.
Antara platform paling popular ialah TikTok, WhatsApp, YouTube dan Facebook, dengan TikTok mencatat pertumbuhan sekitar tujuh peratus dalam tempoh setahun terakhir.
Dari sudut psikologi media, artikel ulasan “Media Effects: Theory and Research” (2016) menjelaskan bagaimana pendedahan berulang terhadap mesej dan bingkai tertentu (framing dan priming) mampu mempengaruhi cara masyarakat menafsir maklumat serta membentuk kepercayaan politik dan sosial. Yang pasti trend ini berlarutan hingga kini.
Lebih membimbangkan, jurnal “Algorithmic Amplification of Politics on Twitter” (2022) mendapati corak algoritma Twitter memperbesarkan kandungan politik arus perdana berhaluan kanan di enam daripada tujuh negara yang dikaji.
Penemuan ini menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan “bias” dalam paparan berita digital.
Fenomena ini menunjukkan media sosial bukan sahaja membuka ruang kepada masyarakat untuk bersuara, malah berkuasa besar dalam membentuk corak pemikiran dan kepercayaan.
Selagi algoritma yang mengawal paparan kekal misteri, persoalan tentang siapa sebenarnya yang mempengaruhi fikiran pengguna akan terus menjadi perdebatan.–THE MALAYA POST
Penulis, Nik Suryani Megat Deraman merupakan Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Ketua Pengarang The Malaya Post dan kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.
Ikuti saluran YouTube The Malaya Post untuk perkembangan berita terkini: https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply