VSN 2030 nafas baharu sukan negara selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia

0

Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa hala tuju dan perancangan baharu pembangunan sukan negara yang dipetakan secara komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun.

Datuk Seri Ismail Sabri, berkata melaluinya arena sukan negara mendapat nafas baharu dengan konsep ‘Daripada Komuniti Kepada Komuniti’ yang membabitkan seluruh Keluarga Malaysia bagi merencana strategi sukan negara untuk sedekad mendatang.

Beliau berkata, VSN2030 yang dibangunkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat.

“Ia juga bakal melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia dan menjadi dokumen rasmi kerajaan dalam pembangunan sukan tanah air,” katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2022 di Dataran Istana Kehakiman Oktober lalu.

Perdana Menteri berkata, VSN 2030 juga sebuah dokumen dasar berkonsepkan pendemokrasian sukan dengan keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak.

Beliau berkata, berikutan itu dokumen berkenaan akan sentiasa diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dalam memacu industri sukan Malaysia untuk terus gemilang sehingga 2030.

Pada masa sama, KBS diminta berusaha meningkatkan lagi pembudayaan dan pencapaian sukan melalui pelbagai usaha proaktif.

“Ia termasuk tawaran pemberian biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat bermula daripada peringkat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Bekas atlet yang berkemahiran akan dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan akan dibabitkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID).

“Semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (perlu dibuat) dengan jenis sukan tersenarai ditingkatkan serta sukan elektronik juga disenaraikan dan menaik taraf fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan, sekali gus meningkatkan pembabitan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Hari Sukan Negara 2022 yang menyasarkan pembabitan 4.5 juta Keluarga Malaysia dalam aktiviti sukan yang dianjurkan menggunakan empat strategi pelaksanaan.

Katanya, ia membabitkan pelaksanaan secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi serta mengadakan kerjasama strategik dengan pemegang taruh dan rentas kementerian atau agensi bagi menganjurkan aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan.

“Ia juga akan membabitkan golongan profesional, pempengaruh sosial, pemain industri sukan, atlet dan ikon sukan untuk menarik pembabitan rakyat dalam aktiviti yang dianjurkan.

“Jadi, marilah kita bersama-sama menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan sasaran sekurang-kurangnya dua pertiga rakyat negara ini bersenam dan aktif bersukan sekurang-kurangnya lima sesi seminggu dan 30 minit setiap sesi.

“Inilah semangat sebenar Hari Sukan Negara apabila seluruh Keluarga Malaysia bersama-sama bersukan walau di mana mereka berada, seterusnya dapat meningkatkan kecergasan diri dan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (gambar) berkata rangka tindakan sukan bagi tempoh 10 tahun itu, berkisar kepada perkembangan modal insan, iaitu atlet dan jurulatih.

Ia mengambil kira trend terkini selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Beliau berkata penawaran biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat dari peringkat Sukan Malaysia (Sukma) ke kejohanan antarabangsa yang diiktiraf oleh kerajaan, pastinya menjadi pemangkin kepada atlet yang bercita-cita untuk menaiki podium tanpa melupakan impian ke menara gading.

“Ini meluaskan kelompok atlet yang memiliki intelek untuk mengurus kerjaya ketika di kemuncak dan seterusnya selepas bersara. Ia juga memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa penyertaan anak-anak mereka dalam bidang sukan tanpa dibebani isu atau bebanan kewangan,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad Norza berkata VSN juga membuka peluang kepada bekas atlet untuk menyumbang semula dalam sukan, apabila mereka yang berkemahiran dipertimbangkan sebagai jurulatih Pendidikan Jasmani dan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID).

“Yang penting proses pengenalpastian bakat dilaksanakan oleh mereka yang pernah susah dan senang dalam sukan berkenaan. Selain itu, atlet berkemahiran berpeluang meneruskan kerjaya sebagai jurulatih,” katanya.

Beliau turut positif mengenai rancangan menaik taraf fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan.

Menurutnya budaya bersukan di peringkat massa akan meluaskan kelompok masyarakat yang bersukan, sekali gus akan mendedahkan masyarakat umum kepada bibit-bibit sukan prestasi tinggi.

“Dasar ini bukan sahaja mencetuskan budaya penyelenggaraan dan pemeliharaan yang subur, ia juga memberi opsyen dan platform kepada Keluarga Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, iaitu jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan e-sukan akan turut disenaraikan. Ini akan membuka ruang kepada sukan seperti e-sukan yang menjadi tarikan belia hari ini diiktiraf dan diwartakan, sejajar perkembangan masa kini,” katanya.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply