UMNO vs PAS: Pendirian PAS kekal cari kesepakatan, patut dipuji

0

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Pendirian PAS untuk terus mengekalkan hasrat mencari kesepakatan bersama UMNO dan BERSATU wajar dipuji.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia sekali gus menepati maksud dan panduan syariah dalam mencari kebaikan dan menolak kemudaratan yang lebih besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata pendirian ditunjukkan PAS itu membuka pintu rundingan dan perbincangan, satu tindakan sama yang diambil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka kunci permuafakatan kerana beliau dan pemimpin menginginkan penyatuan umat.

“Kita sememangnya diperintahkan Allah agar berpegang teguh pada tali Allah dan tidak bercerai berai.

“Teruskanlah usaha, kerana di mana ada daya di situ ada jaya,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu pagi tadi, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pagi tadi kelihatan masih berteka-teki sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui kenyataannya berkata, keputusan meneruskan usaha penyatuan ummah membabitkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu termasuk UMNO dan BERSATU, bagi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU-15.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata PAS berpandangan perlu ada keanjalan dalam rundingan dengan UMNO dan BERSATU, termasuk berkenaan syarat yang dikemuka dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan.

Pada masa sama, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply