Saturday, July 20, 2024
HomeBERITALonjakan besar undang-undang negara di bawah pentadbiran PM Ismail Sabri

Lonjakan besar undang-undang negara di bawah pentadbiran PM Ismail Sabri

Seperti lazimnya pada malam sebelum sesuatu sesi sidang Parlimen bermula, pada Ahad lalu, bertempat di Dewan De Seri Endon, Puspanita, Presint 10, Putrajaya, satu majlis pre-council untuk Ahli-Ahli Parlimen mewakili kerajaan telah diadakan.

Asalnya Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 Tahun 2022, ini ditetap untuk dilangsungkan dari 26 Oktober hingga 15 Disember tetapi ini telah diawalkan menjadi dari 3 Oktober hingga 29 November.

Memulakan majlis pre-council tersebut adalah ucapan alu-aluan Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Beliau menyebutkan betapa dalam sidang Mesyuarat Ketiga ini:
(1) Terdapat 9 Rang Undang-Undang (RUU) yang telah selesai dibuat bacaan kali pertama dan sedia untuk dibuat bacaan seterusnya di Dewan Rakyat.
(2) Terdapat 13 RUU yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri setakat ini dan sedia untuk dibentangkan di Parlimen.
(3) Terdapat 8 RUU yang bakal dibentangkan untuk bacaan kali pertama dan sehingga kini masih belum mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Antara RUU yang bakal dibentangkan adalah RUU Pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan peruntukan Anti-Menghendap (Anti Stalking) serta RUU Pindaan kepada pelbagai undang-undang yang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Antara RUU yang belum mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri adalah Peruntukan yang berkaitan dengan RUU Perkhidmatan Parlimen, Larangan Ahli Dewan Negara bertukar Parti, Pengehadan Tempoh Perdana Menteri dan Pindaan Berkaitan Isu Pelancongan Dalam Senarai Persekutuan.

Selepas RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 dibentangkan pada 7 Oktober, Perbahasan dan Jawapan oleh Menteri Kewangan dijadualkan berlangsung selama 24 hari bermula dari 11 Oktober hingga ke tarikh ia diundi pada 23 November.

Mesyuarat kali ini akan turut membentangkan RUU Perbekalan Tambahan 2022 yang dijadualkan pada 24 (Bacaan Kedua serta Perbahasan Peringkat Dasar) dan 28 November (Perbahasan Peringkat Jawatankuasa dan penggulungan oleh Menteri Kewangan).

Satu Pindaan Perlembagaan berkaitan Transformasi Parlimen juga dijangka akan dibentangkan pada 29 November di mana ia memerlukan sokongan 2/3 daripada Ahli Dewan iaitu bersamaan dengan tidak kurang 148 undi.

Dr Wan Junaidi seterusnya memohon kepada semua Ahli Parlimen yang mewakili kerajaan untuk memastikan korum mesyuarat adalah sentiasa mencukupi dengan tidak mengadakan apa-apa program pada hari persidangan bagi memberikan komitmen penuh kepada Kerajaan.

Selepas Dr Wan Junaidi, tiba pula giliran Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berucap dalam mana ia dimulai dengan permohonan maaf di atas apa-apa salah dan silap kerana sidang Mesyuarat Ketiga ini mungkin merupakan sidang terakhir bagi Parlimen ini.

Mengikut Ismail Sabri, sidang seterusnya dijangka akan berlangsung pada Mac 2023 tetapi pada tarikh tersebut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dijangka sudah selesai dilangsungkan menjadikan majlis pre-council ini mungkin merupakan majlis terakhir bagi penggal ini.

Ismail Sabri seterusnya mengulangi seruan yang dibuat oleh Dr Wan Junaidi sebelumnya, iaitu memohon kepada semua Ahli Parlimen yang mewakili kerajaan untuk memastikan korum mesyuarat adalah sentiasa mencukupi.

Bila majlis pre-council ini dibuka kepada soal-jawab, sesatunya Ahli Parlimen yang bangkit bersuara ialah wakil P061 Padang Rengas, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Selain menyebut mengenai keperluan untuk segera membentang dan meluluskan RUU Pendanaan Politik, Mohamed Nazri menyatakan kesedihan beliau melihat perkembangan politik yang berlaku sekarang.

Mengikut Mohamed Nazri, Ismail Sabri tidak sepatutnya ditekan untuk membubarkan Parlimen secepat mungkin dalam keadaan negara yang disifatkan tidak begitu kondusif untuknya.

Mengikut Mohamed Nazri, kita mesti menghormati hak yang ada pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan demi mengelakkan perkara begini berterusan kita perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan penggal tetap (fixed-term) untuk Parlimen.

Menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Mohamed Nazri, Dr Wan Junaidi menyebut bahawa RUU Pendanaan Politik dicadang untuk dibentangkan pada 3 November di mana drafnya juga telah diedarkan kepada semua yang terlibat.

Mengenai keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan penggal tetap (fixed-term) untuk Parlimen pula, Dr Wan Junaidi menyebut bahawa perkara ini sememangnya bagus jika dapat dibuat demi mewujudkan kestabilan kepada negara.

Malah, sebelum ini pun beberapa pihak, termasuk para pemimpin politik, telah menyuarakan perkara yang sama, termasuk juga Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Begitu juga dengan pakar-pakar perundangan negara seperti Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi mahupun ahli-ahli akademik lain seperti Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, Prof Dr Wong Chin Huat dan Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Bagaimanapun, kata Dr Wan Junaidi, perkara ini perlu dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk diputuskan serta perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja kerana ia melibatkan kuasa Baginda, selain kuasa Perdana Menteri.

Alangkah baiknya jika semua RUU ini sempat disedia, dibentang, dibahas dan diluluskan dalam sidang yang masih berbaki ini, sekali gus membolehkan pentadbiran Keluarga Malaysia dilihat paling efisien dari sudut pembaharuan undang-undang negara.

Namun begitu, jika ini tidak sempat dilaksanakan dan Parlimen dibubarkan dalam waktu terdekat, rekod cemerlang Dr Wan Junaidi dan Ismail Sabri, dibantu oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, tetap akan terpahat di mana banyak lonjakan besar dalam undang-undang negara berjaya dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Komitmen Ismail Sabri selaku orang parti telah terzahir, ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Gerik serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya telah dibawa dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 Oktober.

Sama-samalah kita doakan agar keputusan yang terbaik dapat dibuat untuk kepentingan negara.

Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Malaysia

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments