“UMNO tidak sertai gabungan parti Perikatan Nasional (PN) tetapi mendukung kerajaan PN.”
Pernyataan terbabit disuarakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi perkongsian beliau di laman Facebook miliknya.
Menurut beliau, Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN membuat keputusan jelas parti berkenaan mendokong kerajaan PN sehingga PRU-15 namun tidak bersetuju untuk menyertai gabungan PN sebagai salah satu parti komponen.

“Setakat ini parti PN hanya dianggotai PPBM, PAS, STAR dan SAPP, manakala kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk UMNO dan tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS, STAR dan SAPP).
“Majlis Presiden Kerajaan PN sememangnya dicadangkan sejak dari awal oleh UMNO ketika pembentukan Kerajaan PN pada bulan Mac 2020, tetapi hanya dilaksanakan sekarang.
“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi yang terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan ini,” kongsi beliau.
Justeru itu, Majlis Presiden Kerajaan PN mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan seperti inisiatif kerajaan mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada UMNO hingga mencetuskan pergeseran di kalangan parti-parti dalam kerajaan PN.
“Juga Majlis Presiden Kerajaan PN boleh dijadikan platform untuk Presiden parti-parti yang mendokong Kerajaan PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan diambil tindakan oleh Kerajaan PN.
“Sebagai contoh, pendirian UMNO dan BN membawa suara rakyat dalam ISU KWSP dan MORATORIUM,” ujar beliau.
Sehubungan itu, kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk PRU-15 lebih bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.
“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” tambahnya lagi.
Semalam, parti-parti dalam kerajaan PN bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh ketua-ketua parti masing-masing sebagal platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.

Bagi menyelaraskan Majlis Presiden terbabit, satu sekretariat yang dianggotai oleh semua Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN juga ditubuhkan.
Mesyuarat antara ketua-ketua parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lain turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply