Sunday, May 26, 2024
HomeBERITAUMNO Bahagian Padang Terap lulus usul gambar Ismail Sabri sebagai 'poster boy'...

UMNO Bahagian Padang Terap lulus usul gambar Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN bagi PRU15

PADANG TERAP, 18 Dis. – UMNO Bahagian Padang Terap hari ini meluluskan usul menjadikan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘Poster Boy’ untuk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai kerana diyakini mampu menarik orang ramai untuk mengundi BN dan UMNO.

“Keputusan supaya Datuk Seri Ismail Sabri menjadi ‘poster boy’ ini diluluskan secara sebulat suara dan faktor utamanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika ini.

“Beliau juga dilihat menjalankan tugas dengan baik dan faktor tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi UMNO dan BN.”

Datuk Seri Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak, Naka dekat sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Naib Ketua, Datuk Badrol Hisham Hashim serta ketua-ketua sayap parti itu di bahagian tersebut.

Keputusan itu jelas Datuk Seri Mahdzir, diyakini juga akan menjadi strategi yang baik kepada parti tersebut bagi memenangi hati pengundi pada PRU akan datang.

Selain usul berkenaan, tiga lagi usul yang diluluskan secara sebulat suara dengan satu daripadanya adalah menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.

Mengulas mengenai usul berkenaan Datuk Seri Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri perlu diberi masa dan ruang mencukupi untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutamanya berkaitan pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Dalam erti kata lain, PRU-15 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat. Apabila sampai satu ketika beliau merasakan sudah sampai masanya untuk adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail Sabri sendiri berbincang dengan kepimpinan parti,” katanya.

Ditanya mengenai kelayakan Datuk Seri Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Presiden parti, Datuk Seri Mahdzir berkata perkara itu perlu diserahkan kepada ahli parti pada pemilihan akan datang.

“Itu soal pemilihan dan berbeza sama sekali dengan usul yang kita luluskan hari ini.Namun kalau boleh, kita mahu supaya Perdana Menteri menjadi orang sama menguruskan urusan berkaitan parti.

“Apa pun saya sebutkan tadi, ini perlu dikembalikan kepada ahli dan kita perlu kembali kepada bahagian serta akar umbi bagi menentukan perkara tersebut,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments