Tuesday, May 21, 2024
HomeBERITARM1.92 juta peruntukan bantu usahawan luar bandar mulakan semula perniagaan terjejas

RM1.92 juta peruntukan bantu usahawan luar bandar mulakan semula perniagaan terjejas

PADANG TERAP, 18 Dis – Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, memperuntukkan sejumlah RM1.92 juta bagi membantu usahawan luar bandar memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi program khas Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

“Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar tersebut turut menjadi salah satu inisiatif di bawah Strategi Memperkukuh Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar, Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

“Bermula September lalu, KPLB telah melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid19 bagi memulakan semula perniagaan mereka dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Kompleks Komuniti Padang Kerasak di Naka dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Menurut Datuk Seri Mahdzir, setakat ini sejumlah 400 usahawan luar bandar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada geran program SPKLB.

Program tersebut diperkenalkan pada tahun 2019 dengan menyediakan geran penuh kepada usahawan bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

Selain menyediakan latihan, kursus dan kejurulatihan yang bersesuaian kepada usahawan yang komited mengembangkan perniagaan mereka.

“Program SPKLB disasarkan kepada usahawan luar bandar yang komited meningkatkan taraf hidup dan ekonomi selain menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi bagi meluaskan pasaran produk mereka.” ujar Datuk Seri Mahdzir.

Pada majlis yang sama, Datuk Seri Mahdzir turut menyempurnakan Simbolik Penyerahan Geran Bantuan SPKLB kepada 400 usahawan di seluruh negara, menyampaikan bantuan gajet pembelajaran kepada 50 pelajar dan cermin mata kepada 100 pelajar dari keluarga B40.

Turut disampaikan, bantuan wang saku persekolahan kepada 300 pelajar sekitar daerah Padang Terap dan Bantuan Bakti Desa KPLB kepada 204 orang pelajar berjumlah RM204 ribu.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments