Ulama berperanan penting, rujukan kerajaan – TPM

0

Di Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ulama memainkan peranan penting dalam sesebuah kerajaan yang dibentuk kerana golongan terbabit menjadi rujukan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

Katanya lagi pandangan daripada golongan ulama mampu memastikan hala tuju yang ditentukan dalam dasar adalah berpandukan al-Quran dan Sunnah.

“Setiap dasar yang akan dilaksanakan mesti dirujuk dengan ulama agar segala usaha yang kita lakukan adalah atas nasihat dan doa ulama…insya-Allah matlamat untuk capai negara sejahtera akan tercapai,” katanya.

Tambah beliau kombinasi jalinan kerjasama antara pemimpin dan ulama dapat memastikan setiap permasalahan yang dihadapi negara dapat diatasi berpandukan ajaran Islam.

Beliau berkata teguran dan nasihat daripada golongan ulama adalah dialu-alukan bagi memastikan kepimpinan negara sentiasa mendapat keberkatan.

Jelasnya majlis agama bersama ulama perlu menjadi platform penting untuk membantu kerajaan mencambahkan pelbagai idea ke arah memartabatkan Islam.

Katanya, ulama adalah obor kepada masyarakat dan berperanan memberi pencerahan dalam semua sudut kehidupan manusia berdasarkan al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menasihatkan ulama agar tidak menyalah guna ayat al-Quran, Hadis, ijmak dan qias untuk mencapai matlamat politik sebaliknya memanfaatkan ilmu berkenaan untuk memperkukuh serta menjaga kesucian Islam.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply