Tiga pelajar kolej terlepas tali gantung

0

Di Shah Alam, tiga pelajar kolej berusia awal 20-an terlepas tali gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan mengedar ganja, tiga tahun lalu.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tiga remaja berkenaan.

Roszianayati Ahmad dalam penghakimannya mendapati, tertuduh pertama tiada kawalan ke atas bilik di mana dadah dijumpai.

Manakala seksyen 34 (niat bersama) juga gagal dibuktikan terhadap dua lagi rakan remaja berkenaan yang hadir pada malam kejadian.

“Ini kerana adalah tidak dinafikan oleh pendakwaan bahawa tertuduh 2 dan tertuduh 3 adalah sekadar pelawat pada malam kejadian dan bukan penyewa rumah.

“Mahkamah mendapati terdapat keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan melepas serta membebaskan tertuduh-tertuduh tanpa perlu membela diri,” katanya ketika penghakiman.

Tertuduh pertama diwakili Tetuan solehuddin & ozier, manakala tertuduh kedua diwakili Tetuan Nik Ikhwan & Co dan tertuduh ketiga diwakili Teh Poh Teik & Co / Salim Bashir, Ruswiza & Co.

Terdahulu, mengikut fakta kes, ketiga-tiga remaja terbabit dicekup dalam satu serbuan polis di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam.

Hasil serbuan polis menjumpai dadah jenis ganja dengan berat lebih 2 kilogram di dalam salah sebuah bilik di rumah itu.

Lebih 10 individu di rumah itu ditahan.

Tiga daripada mereka kemudiannya dituduh mengedar dadah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam bagaimanapun mendapati terdapat keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan melepas serta membebaskan tertuduh-tertuduh tanpa perlu membela diri.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply