Saturday, July 27, 2024
HomeBERITATerokai keunikan ladang teh Gaharu, Gopeng

Terokai keunikan ladang teh Gaharu, Gopeng

Gopeng adalah sebuah bandar kecil dalam daerah Kampar, terletak kira-kira 20 km dari ibu negeri Perak iaitu Ipoh.

Bagi penduduk setempat, Gopeng antara mukim yang strategik kerana dikelilingi tiga bandar besar iaitu Ipoh Utara, Kampar Selatan dan Batu Gajah menghala ke Barat.

Seperti pekan-pekan kecil yang terletak di luar bandaraya, kehidupan disini tidak begitu sibuk termasuk pada hujung minggu.

Namun, kerancakan jual beli pengusaha Industri Kecil dan Sederhana seperti pasar-pasar pagi, pasar malam nyata menjadi tarikan utama orang ramai berkunjung di bandar kecil ini.

Maka tidak hairanlah masyarakat ternanti-nanti pasar pagi atau dikenali sebagai Lambak Selasa yang beroperasi pada hari Selasa dan pasar malam beroperasi setiap hari Ahad.

Kira-kira 60 peratus penduduk Gopeng terdiri dari kaum Cina yang asalnya bekerja dalam Industri perlombongan bijih timah yang pernah maju dan termasyhur suatu masa dahulu.

Begitulah serba sedikit tentang bandar kecil Gopeng.

Menariknya, kami akan membawa anda mengembara ke beberapa destinasi yang menarik di sekitar bandar ini.

Kali ini kami membawa anda meninjau ladang teh pula. Tambahan pula, minuman berasaskan teh amat dekat di hati rakyat Malaysia.

Ladang teh selalunya sinonim dengan Cameron Highland. Namun disini kami cambahkan sedikit info tentang ladang teh yang berlokasi di Gopeng, Perak.

Tapi ini bukan ladang teh biasa ya. Ladang teh di Gopeng mempunyai kelainan dan tidak sama dengan jenis teh yang ditanam di ladang-ladang yang biasa kita dengar dan ketahui sebelum ini.

Uniknya, ladang teh di Gopeng bukan seperti ladang teh biasa yang selalu anda lawati. Memang berbeza sama sekali.

Biasa dengar pokok gaharu? Alaaaa, kandungan utama untuk hasilkan minyak wangi.

Ladang teh yang paling terkenal di Gopeng adalah Gaharu Tea Valley.

Disini anda dapat melihat pokok gaharu yang besar dan tinggi di tanam di lereng-lereng bukit untuk dijadikan produk minuman dan makanan seperti teh, biskut, mi dan sebagainya.

Ia terletak di kawasan kaki bukit jajaran Titiwangsa, iaitu kira-kira 20 kilometer dari bandar Gopeng.

Diusahakan pada tahun 1992, Gaharu Tea Valley seluas 300 ekar ini menempatkan lebih 200,000 pokok gaharu.

Teh Gaharu diperbuat daripada batang dan daun muda melalui kombinasi 12 spesis gaharu dengan mempunyai pelbagai khasiat,  antaranya mampu membantu mengawal paras gula di dalam darah, mengatasi masalah anxiety atau kecelaruan keresahan, masalah tidur, melancarkan perjalanan darah, penghasilan uric acid, dan banyak lagi.


Tambah menarik, kami juga dibawa ke ‘Viewing Stage’ yang terletak di puncak tertinggi untuk melihat sendiri pemandangan ladang gaharu yang indah terbentang luas di depan mata.

Setelah melihat pemandangan ladang teh gaharu, kami dibawa pula melawat ke ‘Hugging Park’.

Hugging Park??? Taman peluk??? Bukan peluk orang ya, tapi peluk pokok teh la saudara.

Dihentian kedua ini, kami berpeluang melihat, menyentuh malah boleh sahaja memeluk pokok gaharu yang terdapat di sini.

Pokok gaharu yang ditanam di taman ini telah dibentuk dengan gambar pelbagai jenis binatang yang menjadikan taman ini sangat menarik.

Hentian terakhir pula ialah lawatan ke Lover’s Park.

yang menempatkan sepasang pokok yang dikatakan berusia 200 tahun.

Pokok yang saling terjalin di antara satu sama lain seperti sepasang kekasih menyebabkan penduduk setempat menggelarnya sebagai ‘Pokok Cinta’.

Dah alang-alang sampai disini, pastinya kami tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai kenikmatan teh gaharu.

Hmmm, sedap, nyaman dan nikmat sekali!
Kepada peminat minuman berasaskan teh dan mahu merasai kenikmatan secawan teh Gaharu bolehlah berkunjung ke Gaharu Tea Valley, berlokasi di Jalan Sungai Itek, Gopeng, Perak.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments