Monday, July 15, 2024
HomeBERITATerima secara positif, anggap teguran seorang ayah - MB Perak

Terima secara positif, anggap teguran seorang ayah – MB Perak

IPOH 7 Sept 2019 : Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meminta orang Melayu supaya menerima teguran Perdana Menteri secara positif.

foto: Facebook Tun Dr Mahathir

Seruan itu merujuk teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada orang Melayu dalam catatan bertajuk ‘Tak Bekerja’ di laman blognya, Chedet semalam, supaya mengubah sikap serta tidak menganggap diri mereka sebagai tuan di negara sendiri sekiranya miskin dan terus bergantung kepada belas kasihan orang lain.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Seri Ahmad Faizal berkata, adalah amat merugikan sekiranya teguran itu yang diibaratkan sebagai kata-kata seorang ayah kepada anaknya, dilihat dalam konteks negatif.

“Saya menerima baik apa yang disebut oleh seorang ayah kepada anaknya atau seorang Perdana Menteri kepada rakyatnya walaupun saya dapati teguran ini tidak diterima ramai secara positif dalam kalangan orang Melayu.

“Kepada orang Melayu, saya harap teguran sebegini kalau kita ambil secara positif, tentunya ia akan mendatangkan kebaikan tetapi kalau apa juga perkara diterima sebagai negatif, tetap akan jadi negatif. Jadi, kalau kita bertindak terhadap perkara yang disebutkan oleh pemimpin kita sebagai negatif, itu bermakna kita adalah manusia-manusia yang rugi,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad Faizal percaya Tun Dr. Mahathir memperkatakan tentang perkara itu apabila beliau risau melihat bangsanya pada hari ini cuma bercakap mengenai perpaduan ummah, ketuanan Melayu serta semangat agama atau bangsa tanpa melakukan sesuatu perkara yang positif untuk memajukan diri.

“Sebagai contoh, saya sebutkan satu analogi di mana kalau seseorang itu asyik melaungkan azan sahaja tetapi tidak pernah sembahyang, jadi dia tidak dapat apa-apa.

“Jadi, sekarang ini saya lihat banyak dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang apabila tiada kuasa, tiba-tiba semangat Melayunya terlalu kuat. Mereka bercakap tentang hidup Melayu, ketuanan Melayu tetapi Melayu yang mereka berdepan ialah Melayu yang tidak mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam negaranya sendiri,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Jemputan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Ahli Parlimen Tambun 2019 di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan tengahari tadi.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments