Pelawak “Taukeh Jambu” atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin.
Turut didakwa empat rakannya iaitu Muhamad Azman Johar, 28; Brandon Cheong Kai Szern, 25, serta dua wanita, Salimah Nasuha Gusti Hassan, 29 dan Lee Kim Yoon, 44.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram, di 15-01 Menara Up, Jalan Puchong di sini, pada 2.40 pagi, 10 April lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Taukeh tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan pendapatannya terjejas dan ini adalah kesalahan pertamanya manakala empat tertuduh lain turut merayu jaminan rendah.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,700 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.–THE MALAYA POST
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply