SOSMA & Jenayah Terrorisme, pendirian konsisten Tun Dr Mahathir – Haniff Khatri

0

Oleh Tuan Haniff Khatri, Peguam

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera :

1.Sejak beberapa hari yang lalu, mata Rakyat tertumpu kepada pelbagai pandangan berhubung tangkapan beberapa individu, dalam siasatan berkaitan Jenayah “Terrorisme LTTE”, dan antara yang ditahan merupakan ADUN dan pemimpin parti DAP, salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan iaitu parti yang memimpin Kerajaan Malaysia sejak 09.05.2018.

2. Pada masa yang sama, ada juga kritikan-kritikan sampingan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkaitan penggunaan peruntukan SOSMA dalam tangkapan dan siasatan individu-individu terbabit. Walaupun secara isu sampingan, ianya masih adalah isu penting, yang perlu difahami secara betul dan tepat, untuk mengelakkan tohmahan salah terhadap kepimpinan Kerajaan kini, daripada segelintir pihak.

3. SOSMA secara amnya adalah satu undang-undang prosedur, dan bukannya undang-undang Jenayah Substantif, yakni SOSMA dengan sendirinya tidak mewujudkan apa-apa jenayah untuk diadili di bawahnya.

4. Peruntukan prosedur SOSMA adalah bertujuan untuk membantu pelaksanaan prosedur berkaitan jenayah yang berbangkit daripada akta-akta lain, seperti kanun keseksaan.

5. Berbalik kepada isu siasatan jenayah “Terrorisme LTTE”, pihak berkuasa polis telah mendedahkan maklumat perlu tentang kepercayaan pihak berkuasa akan kewujudan pergerakan berbentuk jenayah terrorisme dalam isu tangkapan berkaitan “LTTE” ini.

6. Jenayah terrorisme secara khususnya, bukan sahaja merupakan satu Jenayah yang melibatkan susun atur strategi lengkap dan sistematik oleh pihak terbabit, malah akibat dan kesan daripada tindakan terrorisme boleh menyebabkan kemusnahan besar kepada sesebuah negara samada dari segi ekonomi mahupun fizikal, dengan kemusnahan bangunan ataupun infrastuktur, serta boleh mengancam nyawa dan keselamatan beratus mahupun beribu penduduk.

7. Jenayah terrorisme juga, jika tidak dibendung dengan efisien boleh akibatkan kesan besar terhadap hubungan antarabangsa dengan negara-negara yang terlibat dengan ancaman Jenayah terrorisme berkenaan.

8. Itulah hasrat dan asas kewujudan SOSMA di negara ini pada masa ianya digubal pada tahun 2012.

9. Namun apa yang berlaku di zaman kerajaan dahulu pra PRU-14, adalah, antara lain peruntukan dan pemakaian SOSMA telah disalahguna bagi tujuan penahanan politik, seperti yang berlaku terhadap Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan dan Maria Chin pada tahun 2015 dan 2017, masing-masing, sehingga akhirnya dalam kes Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan, kesemua tahap mahkamah sehinggalah Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan dari tahanan salah selama tempoh dua (2) bulan, iaitu 18.09.2015 sehingga 18.11.2015. Semestinyalah, lanjutan daripada pembebasannya, tindakan sivil oleh Dato’ Seri Abu Hassan untuk gantirugi penahanan salah, pendakwaan curang dan penyalahgunaan SOSMA oleh pucuk pimpinan dan Kerajaan dahulu, masih dalam pertikaian di Mahkamah.

10. Oleh kerana perkara yang sedemikian Pakatan Harapan telah mengesahkan dalam manifestonya pra PRU-14, bahawa mana-mana peruntukan undang-undang yang zalim akan dimansuhkan ataupun dipinda untuk menghadkan risiko penyalahgunaannya.

11. Tun Dr Mahathir secara konsisten sehingga kini telah dipetik oleh The Star Online 04.04.2018 dalam laporan bertajuk “Dr M vows to abolish certain laws” sebagai berkata :

“Dr Mahathir, who is Pakatan chairman, said a Pakatan government would also Abolish Certain Provisions in the Penal Code, Communications and Multimedia Act, Security Offences (Special Mea­sures) Act, Peaceful Assembly Act, and Prevention of Terrorism Act.”,

” “Our stance is that when we form the government, we will repeal what is deemed oppressive to the people,” he told reporters at the Opposition leader’s office in Parliament yesterday.”,

” “We will follow the requirements of the time. The Bills that we pass will not be oppressive, or be misused by the government to put pressure on the people,” he added.”

(Link Laporan : https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/04/04/dr-m-vows-to-abolish-certain-laws-we-will-follow-the-requirements-of-the-time#ESfBSA7qKcbufcv4.99)

12. Justeru, apa yang telah secara konsisten dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pra PRU-14 di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir adalah untuk memansuhkan mana-mana peruntukan khusus dalam SOSMA yang boleh mengancam keadilan asasi ataupun menindas rakyat. Namun, ini tidak bermakna bahawa keseluruhan SOSMA telah kononnya dijanjikan untuk dimansuhkan !!

13. Untuk berlaku adil kepada usaha pembaikpulihan undang-undang ini, Rakyat perlu ambil maklum bahawa Kementerian Dalama Negeri telah seawal bulan September 2018 tubuhkan jawatankuasa khas, untuk mengkaji kesemua undang-undang terbabit, termasuk dan tidak terhad kepada SOSMA, dengan mengundang kesemua pihak yang terlibat bagi tujuan perbincangan dan cadangan terhadap usaha kesegeraman keadilan undang-undang terbabit. Saya telah juga hadir dalam beberapa perbincangan berkenaan dan telah memberi pendapat profesional saya berkaitan perkara yang sama.

14. Saya percaya bahawa Kerajaan secara amnya dan Kementerian Dalam Negeri secara khususnya perlu diberi ruang yang lengkap untuk menentukan kajian menyeluruh dilakukan terhadap perkara ini sebelum Rang undang-undang yang perlu dan yang lengkap adalah dibentangkan untuk diliuluskan di Parlimen, supaya mana-mana pemansuhan ataupun pindaan adalah tidak terdedah kepada kekaburan dan ketidakjelasan lanjut, di masa akan datang.

15. Hatta, Tun Dr Mahathir adalah konsisten, tepat dan betul apabila beliau dipetik oleh MyMetro bertarikh 14.10 2019 bertajuk “LTTE: Tun M puas hati sebab polis guna SOSMA” sebagai berkata :

“Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak terhadap penyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perdana Menteri berkata, polis sudah memberi penjelasan dan sebab kepada beliau mengenai tindakan penahanan berkenaan.

“Saya dapat penerangan daripada polis. Mereka beri sebab-sebab mereka bertindak. Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka ambil tindakan,” katanya.”

(Link Laporan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/506896/ltte-tun-m-puas-hati-sebab-polis-guna-sosma)

16. Malangnya, pendapat konsisten Tun Dr Mahathir telah secara salah ditohmahkan oleh P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sebagai kononnya tidak konsisten dengan pegangan Tun Dr Mahathir dahulu, apabiila P. Ramasamy telah dpetik oleh Malaysiakini bertarikh 14.10.2019 bertajuk “Pembelaan PM terhadap penggunaan Sosma pahit untuk ditelan” sebagai berkata :

“Pemimpin DAP P Ramasamy mendapati pembelaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam penangkapan sejumlah individu yang disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebagai pahit untuk ditelan.”,

Beliau berkata ini kerana Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji untuk memansuhkan akta itu – serta beberapa lagi akta yang dianggap zalim – dalam manifesto PRU ke-14 gabungan itu.”,

“Saya mendapati kenyatan perdana menteri sukar diterima.”, dan

“Pada PRU lalu, PH melawan BN bermati-matian berdasarkan manifesto kami yang antara lain berjanji untuk memansuhkan undang-undang zalim,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.”

(Link Laporan : https://www.malaysiakini.com/news/495848

17. Saya berpendapat kenyataan P. Ramasamy ini bukan sahaja adalah tidak tepat dan salah, malah ianya adalah satu tohmahan curang terhadap pendirian konsisten Tun Dr Mahathir sejak pra PRU-14 sehingga kini !!

18. Justeru, Tun Dr Mahathir adalah sekali lagi betul dan tepat untuk menempelak P. Ramasamy, seperti yang dilaporkan Malaysiakini 15.10.2019 bertajuk “Kalau Ramasamy tak puas hati tak apalah, tapi ada sebabnya”, di mana Tun Dr Mahathir dipetik sebagai berkata :

“Dr Mahathir Mohamad mempertahankan penangkapan sejumlah individu, termasuk wakil rakyat DAP yang disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).”,

“Perdana menteri berkata beliau berpuas hati penjelasan polis terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang dipertikaikan pemimpin DAP Ramasamy.”,

“Ya, keadaan berbeza. Kita bukan nak tangkap orang sewenang-wenangnya.”,

“Ini ada sebab, saya ada dapat penjelasan daripada polis tentang sebab-sebab mereka mengambil tindakan dan saya puas hati dengan sebab-sebab itu.”, dan

“Kalau Ramasamy tak puas hati, tak apalah, dia katalah dia tak puas hati tapi hakikatnya benda ini berlaku, dan ada sebabnya ia berlaku,” katanya kepada pemberita.”

(Link Laporan : dimuat naik di Ruang Bawah)

19. Secara jujur dan tegas saya sarankan bahawa dalam keghairahan sesetengan pemimpin DAP dalam menyokong rakan separti mereka yang disiasat berkaitan isu “Terrorisme LTTE” ini, janganlah bersikap biadap sampai ke tahap membuat tohmahan salah tanpa asas berkaitan polisi dan pegangan Kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir yang konsisten, supaya Rakyat tidak dikelirukan sama sekali !!

Tanpa gundah – Ganjara !!

Demi Agama dan negara tercinta !!!

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

Leave a Reply