Lapor Berita Harian, tindakan regim Yahudi itu menolak akses jemaah Palestin dari Tebing Barat yang tidak memiliki dokumen vaksinasi COVID-19 menimbulkan kemarahan jemaah.

Sejak awal pagi, penduduk Palestin di bandar seperti Baitulaham dan Ramallah di Tebing Barat berbaris di pusat pemeriksaan Israel di mana permit masuk dan status vaksinasi mereka diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke Baitulmaqdis.

Jemaah lain dari Baitulmaqdis Timur dan kota Arab di Israel mendapat akses lebih mudah kerana mereka termasuk dalam program vaksinasi Israel.

Sekatan itu dikritik Mufti Palestin, Sheikh Dr Ikrimah Sabri, yang mengimamkan solat Jumaat dan menuduh Israel mengeksploitasi pandemik untuk campur tangan dalam urusan Masjid al-Aqsa.

Kementerian Luar Palestin pula berkata Israel menjadikan Kota Tua Baitulmaqdis sebagai pangkalan tentera.

Bagaimanapun, pegawai Israel berkata mereka mengehadkan hanya 10,000 warga Palestin yang divaksinasi dibenarkan masuk dari Tebing Barat kerana kadar kematian COVID-19 yang tinggi di wilayah berkenaan.

“Langkah diambil untuk membenarkan kebebasan beragama dan pada masa sama, mencegah penyebaran COVID-19 di rantau ini,” kata kenyataan dari COGAT iaitu penghubung ketenteraan Israel kepada Palestin.

Israel menjalankan inokulasi kepada lebih dari separuh penduduknya tetapi program Palestin jauh ketinggalan.

Palestin dan kumpulan hak asasi menuduh Israel mengabaikan tugasnya sebagai kuasa menduduki.

Selepas kritikan itu, Israel memperluas kempen vaksinasi kepada orang Palestin yang bekerja di Israel atau penempatan di Tebing Bara.

Israel mendakwa, di bawah perjanjian damai Oslo, Pihak Berkuasa Palestin bertanggung jawab ke atas wilayah di mana ia mempunyai kuasa pemerintahan sendiri yang terhad.

Di sebalik ketegangan, solat Jumaat berlangsung tanpa masalah serius dan Baitulmaqdis menunjukkan tanda untuk kembali normal selepas setahun tertutup dan dikenakan sekatan.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost