Saturday, November 21, 2026
HomeBERITA'Sila laksanakan', tulis Zahid kepada SUB perolehan pada surat niat BNS bina...

‘Sila laksanakan’, tulis Zahid kepada SUB perolehan pada surat niat BNS bina LCS

Bekas Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2010, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan sokongan beliau kepada surat niat daripada Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk membina enam kapal peronda generasi kedua, kapal tempur pesisir (LCS).

Menurut laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) hari ini mendedahkan tulisan tangan beliau kepada Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan pada surat niat BNS yang berbunyi ‘Sila laksanakan’.


Terdahulu bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan pembabitan beliau dalam perolehan kapal berkenaan.

Surat niat (LOI) daripada BNS itu ditandatangani Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang juga Pengarah Urusan BNS ketika itu.

LOI diperlukan oleh BNS untuk meyakinkan pengeluar peralatan asal bahawa projek itu mendapat mandat dan restu dari kerajaan.

Tan Sri Ahmad Ramli yang juga bekas panglima tentera laut, dalam surat itu berkata bahawa syarikat berkenaan telah merancang projek LCS selama dua tahun.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dalam memorandum kepada Zahid pada 2 Ogos tahun itu menyatakan kos perolehan LCS adalah tinggi, oleh itu perlu pertimbangan mengenai keutamaan negara dan kapasiti sumber, dan kos projek perlu ditentukan sebelum LOI dikeluarkan.

Kemudian pada 11 Oktober, Unit Perancang Ekonomi (EPU) menulis kepada Kementerian Pertahanan meminta menangguhkan pengeluaran LOI, hingga harga siling bagi projek bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dapat diatur semula.

Bagaimanapun menurut laporan itu, EPU kemudiannya bersetuju kepada rayuan oleh Kementerian Pertahanan untuk mengeluarkan LOI kepada BNS.

Pada 15 Oktober, Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada BNS, yang menyatakan bahawa perbincangan lanjut antara menteri dan syarikat perlu diadakan mengenai beberapa perkara termasuk terma teknikal dan harga.

Kemudian pada 11 Februari 2011, Kementerian Pertahanan meminta kebenaran daripada Kementerian Kewangan supaya perolehan dilakukan secara rundingan terus dengan BNS.

Menurut laporan itu, BNS sebenarnya telah cuba mendapatkan LOI daripada kerajaan sejak 2007 selepas mengadakan perbincangan dengan menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Sama seperti Zahid, Kementerian Pertahanan di bawah teraju Najib juga pada 15 Januari 2008 meminta Kementerian Kewangan mengeluarkan LOI kepada BNS.

Tidak jelas mengapa permintaan LOI tidak diluluskan, tetapi laporan itu menyatakan bahawa BNS terus membabitkan Najib, walaupun dia kemudian bertukar portfolio kepada Kementerian Kewangan dan selepas itu menjadi perdana menteri hingga Jun 2009.

Minggu lalu, Datuk Seri Zahid berkata adalah ‘tidak wajar’ untuk menyalahkannya atas kegagalan perolehan LCS kerana projek itu diberikan selepas tempohnya sebagai menteri pertahanan berakhir pada 2013.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan JKSTUPKK jelas menunjukkan Datuk Seri Ahmad Zahid terbabit pada peringkat awal projek itu.

Surat anugerah berkenaan dikeluarkan pada 2011, walaupun kontrak itu sememangnya hanya ditandatangani pada 2014.

JKSTUPKK telah ditubuhkan semasa kerajaan Pakatan Harapan dan diketuai oleh bekas ketua Audit Negara Ambrin Buang.

Selain Datuk Seri Ahmad Zahid dan peranan Kementerian Pertahanan di bawahnya dalam mengeluarkan LOI, laporan itu juga mengesahkan beliau memang telah mengubah fikirannya mengenai reka bentuk kapal LCS itu.

TLDM mahu menggunakan kapal tempur kelas Sigma untuk LCS, yang pada asalnya dipersetujui Datuk Seri Ahmad Zahid pada Mei 2011.

Bagaimanapun, dua bulan kemudian, beliau atas cadangan BNS, bertukar kepada reka bentuk kapal peronda Gowind, tanpa restu TLDM.

Pada masa sama, laporan itu juga menyatakan Datuk Seri Ahmad Zahid mungkin telah diberikan maklumat yang tidak betul mengenai projek tersebut pada satu ketika.

Pada 19 September 2011, memorandum yang disediakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan untuk kelulusan Datuk Seri Ahmad Zahid mengandungi maklumat tidak betul berhubung harga sistem pengurusan tempur (CMS).

Bahagian perolehan telah menyatakan bahawa Setis CMS oleh kumpulan Tentera Laut Perancis, syarikat yang sama membuat kapal peronda kelas Gowind bernilai RM270 juta, termasuk sistem dan kos penyepaduan.

Ini sepatutnya lebih murah daripada CMS saingan yang berharga RM349.45 juta.

Namun, JKSTUPKK mendapati harga yang disebut untuk CMS Setis tidak termasuk sistem dan proses integrasi serta perlindungan nilai mata wang seperti yang dilaporkan oleh TLDM dalam surat pada 26 Julai 2011.

Sebaliknya, harga Setis CMS dalam kontrak adalah RM479.4 juta – RM209.4 juta lebih daripada jumlah yang asalnya dinyatakan kepada Zahid.

Projek LCS itu bertujuan untuk mendapatkan enam kapal tempur untuk TLDM dengan kos RM9 bilion.

Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019. Bagaimanapun, hingga kini semua kapal masih dalam pembinaan walaupun kerajaan sudah membayar RM6 bilion.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments