Thursday, October 3, 2024
HomeBERITASetuju UPSR dan PT3 dikembalikan

Setuju UPSR dan PT3 dikembalikan

Sebagai seorang ibu kepada dua orang anak yang kini bersekolah rendah Tahun 1 & 4, saya sangat bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan semula peperiksaan UPSR dan PT3.

Sejak pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini pada tahun 2021, saya dimaklumkan bahawa murid-murid, terutama murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 kehilangan motivasi dan kesungguhan untuk belajar. Kehadiran juga merosot.

Ini sangat merisaukan saya sebagai ibu yang sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk perkembangan dan masa depan mereka.

Tiada lagi sasaran yang jelas untuk dicapai oleh murid, tiada lagi pendorong utama seperti peperiksaan yang boleh menjadi titik tolak untuk mereka sebelum melangkah ke alam dewasa.

Saya masih ingat ketika zaman saya bersekolah dahulu, Darjah 5 dan Tingkatan 1 dianggap sebagai tempoh ‘berbulan madu’. Namun, apabila memasuki Darjah 6 dan Tingkatan 3, suasana berubah sepenuhnya. Guru, murid, dan ibu bapa bekerjasama untuk memastikan persiapan rapi menghadapi peperiksaan. Tidak kira sama ada di bandar atau kampung, ibu bapa kami amat serius tentang pendidikan.

Ketika memasuki Darjah 5, ibu saya memastikan saya dilengkapi dengan buku rujukan dan latihan tambahan untuk persediaan UPSR. Semasa Tingkatan 3, guru-guru pula sering berkongsi kertas soalan daripada sekolah berprestasi tinggi seperti MRSM, Sains dan sekolah teknik untuk latihan tubi. Kelas tambahan selepas waktu sekolah dan pada hujung minggu menjadi perkara biasa.

Suasana ketika itu penuh dengan semangat belajar, seolah-olah semua bersedia untuk menghadapi satu misi besar. Sayangnya, anak-anak kita hari ini nampaknya telah kehilangan pengalaman berharga ini.

Untuk rekod, negeri kelahiran saya, iaitu Terengganu, seringkali mendapat kedudukan utama untuk pencapaian UPSR, PMR atau PT3 dan SPM.

Foto arkid Malaysia Gazette

Sejak pemansuhan UPSR dan PT3, saya merasakan tiada lagi alat pengukur yang jelas untuk menilai kemajuan anak-anak. Walaupun PBD menggantikan peperiksaan, mengunakan kayu ukur Tahap Penilaian :TP1 hingga TP6 ia tidak memberikan gambaran yang sama seperti peperiksaan besar. Kadang kala agak mengelirukan.

Ada cakap-cakap mengatakan peperiksaan besar dimansuhkan kerana kita ikut cara negara maju.. Negara mana tu?

Di UK, sehingga kini murid sekolah rendah perlu jalani ujian Standardised Assessment Tests (SATs) semasa mereka darjah 6.

Rujukan :  https://www.bbc.co.uk/newsround/articles/cld0r24zdwwo

Di tahap menengah pula, sejak tahun 1858, mereka ada peperiksaan GSCE O & A level. Walau silibus pembelajaran di ubah ikut peredaran zaman, namun peperiksaan tidak pernah dimansuhkan.

Rujukan : https://www.cambridgeassessment.org.uk/news/how-have-school-exams-changed-over-the-past-150-years/

Justeru, bagi murid kita, tanpa penilaian menerusi peperiksaan, saya bimbang mereka mungkin ketinggalan, dan kurang berdaya saing dan bersedia bagi menghadapi peperiksaan besar di kemudian hari seperti SPM dan seterusnya di peringkat universiti.

Akhir sekali, saya amat bersetuju dengan kenyataan TPM bahawa dasar pendidikan harus dikekalkan walaupun berlaku pertukaran kerajaan pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

“Jangan jadikan anak murid sebagai bahan uji kaji dan mereka jadi mangsa… biar kerajaan bertukar, tetapi dasar kerajaan mestilah dibuat supaya anak kita tidak menjadi mangsa” – DS Ahmad Zahid Hamidi.

Rujukan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1298738/wajib-revamp-dasar-pendidikan-tiada-peperiksaan-tahun-6-tingkatan-3

Nik Suryani Megat Deraman, Ibu Kepada Murid Tahun 1 dan 4, bekas Calon UPSR (1992), PMR (1995), SPM (1997). Kini sedang mengikuti pengajian ke peringkat “PhD in Media Management” di UUM.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments