Thursday, September 5, 2024
HomeBERITAKOPROJAYA sasar buka 20 Kiosk Serbaneka AI menjelang akhir 2025

KOPROJAYA sasar buka 20 Kiosk Serbaneka AI menjelang akhir 2025

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) mengumumkan hasrat untuk membuka lagi 20 kiosk serbaneka iaitu Panas Express menjelang akhir tahun 2025.

Menurut pengerusi KOPROJAYA, Saiful Azhar Shaharun kiosk serbaneka itu berkonsepkan layan diri yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), beroperasi 24 jam tanpa pekerja.

Diperkenalkan oleh Smart Meal Group Holdings Sdn Bhd, model perniagaan itu menggabungkan teknologi AI untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lancar, tanpa pekerja, dan tanpa tunai.

Kiosk itu menawarkan lebih 3,000 SKU (Stock Keeping Unit) produk, yang mana pengguna hanya perlu memilih barang, membuat pembayaran secara digital, dan terus membawa pulang tanpa perlu berurusan dengan juruwang atau pekerja kedai.

Ia turut dilengkapi dengan sistem pemantauan dan keselamatan berasaskan AI, memastikan setiap transaksi dan pergerakan di dalam kedai dipantau secara real-time.

“Kami percaya bahawa peruncitan berasaskan teknologi AI seperti Panas Express bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengguna, tetapi juga memberikan pulangan yang signifikan kepada ahli koperasi. Melalui kerjasama dengan Smart Meal, kami optimis untuk mencapai sasaran ini dan seterusnya memperkukuh kedudukan KOPROJAYA dalam industri peruncitan,” kata Encik Saiful Azhar kepada Ketua Pengarang The Malaya Post di majlis perasmiannya di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) siang tadi.

Saiful Azhar Shaharun, Pengerusi KOPROJAYA

Kiosk Panas Express di MITEC adalah salah satu contoh bagaimana teknologi AI boleh memperkayakan pengalaman pengunjung di pusat pameran dan perdagangan terkemuka di Asia ini.

Dalam pada itu, Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini yang selaras dengan agenda kerajaan dalam memperkasa penggunaan teknologi AI di negara ini.

“Inisiatif ini seiring dengan usaha MATRADE dalam mengembangkan penggunaan teknologi inovatif dalam perdagangan. Dengan MITEC diiktiraf sebagai pusat persidangan terbaik di Asia pada tahun 2023, kehadiran Panas Express menambah nilai kepada kemudahan yang ditawarkan di pusat ini, terutamanya kepada para pengunjung, pelanggan, dan pekerja yang memerlukan perkhidmatan kedai serbaneka yang mudah diakses”, katanya.

Terdahulu teks ucapan perasmian itu dibaca oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Amran Abd Kadir.

Pembukaan kiosk Panas Express ini bukan sahaja mempelbagaikan portfolio perniagaan KOPROJAYA, malah dijangka akan memberi pulangan yang kompetitif kepada para ahli melalui pembayaran dividen yang berterusan.

Seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup, KOPROJAYA juga berusaha untuk memacu inovasi dalam bidang peruncitan dengan mengutamakan keperluan dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Pembukaan kiosk-kiosk baru ini adalah langkah strategik yang kami percaya akan meningkatkan lagi penglibatan dan sokongan ahli-ahli koperasi, sekaligus menjadikan KOPROJAYA sebagai pemain utama dalam sektor ini,” tambah Saiful Azhar.

Saiful Azhar berkata KOPROJAYA telah membuka sebuah premis Panas Express di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini dan bakal membuka dua buah lagi premis, masing-masing di Rubber Park @ KLCC dalam masa terdekat.

Rancangan itu akan diteruskan dengan pembukaan lebih banyak kiosk di pelbagai lokasi strategik yang dikenal pasti mempunyai keperluan perkhidmatan kedai serbaneka 24 jam.

“Dengan sokongan ahli dan masyarakat, KOPROJAYA yakin sasaran 20 kiosk menjelang akhir tahun 2025 dapat dicapai, termasuk di terminal lapangan terbang KLIA, premis bangunan kerajaan, sekaligus memperkukuh kedudukan KOPROJAYA dalam industri peruncitan berteknologi tinggi di Malaysia.

“Dengan kerjasama yang kukuh antara KOPROJAYA dan Smart Meal, Panas Express diharapkan dapat menjadi model perniagaan masa depan yang bukan sahaja relevan di Malaysia, malah boleh dikembangkan ke pasaran antarabangsa.” katanya.

Turut hadir Pengerusi ANGKASA Dato’ Sri Dr Abdul Fattah Abdulllah dan Pengasas Panas Ekspress Vincent Siow.

KOPROJAYA merupakan sebuah koperasi didaftarkan pada tahun 2013 yang bertujuan menyatukan idea, tenaga dan usaha pegawai-pegawai muda dalam perkhidmatan awam yang terdiri dari pelbagai skim perkhidmatan, gred dan latar belakang di pelbagai Kementerian, Jabatan Kerajaan melalui gerakan koperasi.

Selain kiosk Panas Ekspress, ia juga menjalankan perusahaan stesen minyak Shell di Presint 18, Putrajaya di samping perniagaan makanan dan minuman di HUKM Cheras, UiTM Shah Alam dan UiTM Puncak Alam, selain sedang dalam usaha memperkukuh portfolio peruncitan, pertanian moden dan penjagaan kesihatan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Previous article
RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments