‘Datuk Seri’ palsu antara 9 yang dicekup dalangi sindiket tipu pelaburan

0

Seorang lelaki mengaku ‘Datuk Seri’ dan lapan lagi rakan subahat yang mendalangi kegiatan penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM3.32 juta dicekup dalam serbuan di sekitar ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din, tangkapan ke atas sembilan suspek berusia antara 41 hingga 62 tahun itu hasil siasatan rapi dijalankan polis susulan 21 aduan oleh mangsa yang diterima polis, sejak tahun lalu.

“Polis menahan dalang utama sindiket itu iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun yang dikesan memakai gelaran ‘Datuk Seri’ palsu.

“Sindiket ini mendalangi penipuan pelaburan berasaskan ‘Preference Share’ atau Saham Keutamaan yang dikenali dengan nama Pelaburan Planetrade (Plan E Investment).

“Ia dipromosi melalui media sosial dan disebarkan ‘dari rakan ke rakan lain’ dan mereka yang berminat akan diberikan borang untuk diisi dengan serba serbi kelihatan seperti pelaburan sah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Datuk Kamarudin berkata, pelabur dijanjikan keuntungan tetap sekitar empat hingga lima peratus sebulan daripada modal dilaburkan.

“Pelabur turut diyakinkan bahawa wang pelaburan mereka akan dilaburkan ke dalam pelbagai medium pelaburan patuh syariah di dalam dan luar negara bagi menjamin kadar keuntungan besar serta stabil.

“Pada peringkat awal, pelabur menerima keuntungan bulanan dijanjikan, namun sejak beberapa bulan lalu, tiada keuntungan dibayar kepada mereka dan sejak awal tahun ini, sindiket memutuskan perhubungan komunikasi dengan pelabur,” katanya.

Setakat kini 21 laporan polis dengan 12 laporan diterima di Kuala Lumpur, Selangor (5), Kelantan (2) dan masing-masing satu kes di Terengganu serta Melaka membabitkan kerugian RM3.32 juta.

Polis turut merampas enam kenderaan mewah, masing-masing sebuah Bentley Continental, Mercedes Benz GLC 200, BMW X4 dan Ford Ranger serta dua Toyota Vellfire.

13 telefon bimbit, tujuh kad pengeluaran wang (ATM), komputer (2), komputer riba (2) dan tujuh dokumen perjanjian dirampas.

Selain itu, polis turut membekukan 27 akaun bank yang ada kaitan dengan sindiket itu membabitkan wang berjumlah RM700,573 dan pemilikan mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA 2001).

Siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta tindakan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Dua suspek termasuk dalang utama kini direman empat hari sehingga esok (hari ini), manakala tujuh lagi suspek direman selama dua hari.

Semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau.

Sementara itu, beliau difahamkan ada seorang mangsa kerugian sehingga RM4.6 juta akibat penipuan sindiket ini, namun sehingga kini belum tampil membuat laporan polis.

Datuk Kamarudin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pelaburan terutama diiklankan di media sosial.

“Sila buat semakan terlebih dulu mengenai status skim dan syarikat pelaburan berkenaan sama ada dilesenkan oleh Bank Negara (BNM).

“Selain itu, buatlah semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon bimbit di http://ccid.rmp.gov.my sama ada akaun bank itu pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply