“Sekiranya menerima arahan, kami akan menerbangkan pesawat pengangkut C130 atau A400 untuk membawa mereka kembali ke tanah air,” – Panglima ATM

0

Susulan penularan coronavirus, 2019-nCoV.

Angkatan Tentera Malaysia, ATM meletakkan asetnya dalam keadaan bersiap-sedia dikerahkan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas sekitar Wilayah Hubei, China, terutamanya di bandar raya Wuhan yang kini dikenakan perintah berkurung akibat penularan virus berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini hanya menunggu arahan sekiranya diminta berbuat demikian.

“Ketika ini, kami (ATM) belum menerima sebarang arahan kerana mereka (kerajaan) mempunyai pilihan, sama ada untuk membawa balik rakyat Malaysia menggunakan pesawat komersial atau menggunakan khidmat TUDM.

“Sekiranya menerima arahan, kami berkemungkinan menerbangkan sama ada pesawat pengangkut C130 atau A400 untuk membawa mereka kembali ke tanah air,” katanya.

Tan Sri Affendi berkata, sebarang tindakan hanya bakal diputuskan apabila kerajaan mendapat kebenaran untuk menerbangkan pesawat negara ini ke Wilayah Hubei dan bandar raya Wuhan, sekaligus membawa pulang rakyat Malaysia.

Katanya, antara faktor utama penggunaan pesawat TUDM adalah berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di Wuhan serta lokasi mereka akan mendarat untuk mengisi bahan api.

Untuk rekod, seramai 78 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional, penuntut universiti dan krew penerbangan Malindo Air dilaporkan terkandas di sekitar Wilayah Hubei dan Wuhan.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply